Tuesday, October 03, 2006

Edisi Utara: Pesakit kusta mohon simpati

Harian Metro, 3 oktober 2006

Oleh Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my

BALING: Seorang pesakit kusta terpaksa bergantung hidup kepada isterinya selepas tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan apabila kedua-dua belah tangannya lumpuh akibat penyakit yang dideritainya itu.

Zainol Ali, 61, dari Kampung Setol, Mukim Pulai di sini, yang menghidap penyakit itu sejak empat tahun lalu, berkata kedua-dua tapak tangan dan kakinya merekah dan gatal menyebabkan tidak mampu mencari rezeki untuk isteri dan tiga anak mereka.

Berikutan itu, Zainol kini hanya bergantung kepada isterinya, Norazizah Ramli, 45, sebagai ketua rumah untuk mencari nafkah seharian.

“Isteri sajalah yang bekerja menyara kami anak beranak kerana saya tidak mampu bekerja lagi.

“Dengan sumbangan bulanan RM240 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia tidak dapat menampung keperluan harian keluarga apatah lagi harga barangan yang mahal sekarang ini,” katanya ketika ditemui.

Zainol berkata, dia dikesan menghidap penyakit itu sejak empat tahun lalu selepas disahkan doktor pakar di Hospital Alor Star.

Katanya, dia juga terpaksa mendapat rawatan di hospital sehingga hari ini, dan bergantung kepada isterinya untuk menguruskannya.

Sementara itu, Norazizah berkata, dia hanya menjual kuih dengan menumpang di kedai makan di kampung berkenaan bagi menampung perbelanjaan hidup keluarganya.

“Kadang-kadang dapat RM10 sehari dan dengan pendapatan itulah digunakan untuk perbelanjaan di rumah dan anak yang bersekolah,” katanya.

Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohd Fitri, 11, dan Siti Hajar, 10, yang sedang belajar di Sekolah Kebangsaan Pulai manakala Halimatun Saadiah, 8, belajar di Sekolah Kanak-Kanak Istimewa Rumah Amal Baling.

“Anak saya yang bongsu (Halimatun) mengalami terencat akal sejak dilahirkan dan terpaksa dimasukkan ke sekolah kanak-kanak istimewa,” katanya.

Sehubungan itu, dia merayu orang ramai menghulurkan bantuan bagi merawat penyakit suaminya kerana dia tidak berdaya melakukan kerja berat untuk menyara keluarga.

“Saya pun sering sakit dan tidak mampu melakukan kerja berat dan bergantung dengan hasil jualan kuih yang tidak seberapa,” katanya.

Norazizah berkata, rumah yang didiami sekarang juga hanya menumpang di atas tanah milik orang dan menunggu masa saja untuk berpindah sekiranya pemiliknya memerlukan tapak itu.

No comments: