Sunday, October 22, 2006

Ibu tabah tanggung tiga anak cacat

Utusan Malaysia, 22 oktober 2006

TAIPING 21 Okt. – Walaupun tenaga semakin berkurangan, seorang ibu tunggal berusia 62 tahun terpaksa meneruskan pekerjaan demi menyara tiga anaknya yang cacat.

Bagi Zainab Ibrahim, perumpamaan “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul” benar-benar diharunginya.

Menurutnya, semua itu sudah ditakdirkan dan perlu hadapi dengan tabah tetapi apa yang menghantuinya kini adalah masa depan tiga anaknya itu yang dilahirkan cacat sejak dari kecil.

Ketiga-tiga anak Zainab iaitu Ahmad Arbain Asri, 31, Mohd Isa, 24 dan Mohd Ali, 23, walaupun sudah dewasa tetapi masih perlu dijaga oleh ibu mereka.

“Saya terharu dengan nasib mereka walaupun sudah berusia tetapi mereka hanya mampu mengesot sahaja di dalam rumah akibat kecacatan yang dialami... mereka tidak berupaya untuk bangun pun.

“Saya tak tahulah apa yang akan terjadi jika saya tidak berupaya melakukan kerja berat lagi selepas ini tetapi demi anak, saya tabahkan juga untuk melakukannya untuk mereka,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan pakaian dan duit raya daripada Pergerakan Pemuda UMNO Perak di rumahnya di Kampung Boyan di sini hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh ketuanya Zainol Fadzi Paharuddin.

Zainab yang kematian suami sejak lebih 10 tahun lepas mempunyai sembilan orang anak, hanya ketiga-tiga anak lelakinya yang cacat manakala enam anak perempuannya adalah normal dan telah berumah tangga kecuali dua yang masih bersekolah.

Beliau menyara keluarga dengan pendapatan RM300 sebulan hasil bekerja di sebuah kantin sekolah, bantuan RM150 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta sumbangan anak dan menantu.

“Memang tidak cukup tetapi apa lagi boleh saya lakukan untuk menambah pendapatan,” katanya.

Katanya, kesemua tiga anak lelakinya itu mengalami masalah kecacatan di bahagian kaki sejak lahir dan tidak mampu untuk melakukan sebarang kerja.

Beliau berkata, beliau pernah mendapatkan rawatan untuk mereka tetapi tiada sebarang perubahan berlaku sehinggalah mereka membesar kini.

Ketika ditanya tentang persediaan untuk Aidilfitri kali ini, Zainab berkata, seperti biasa ia dibuat secara ala kadar sahaja dan banyak dibantu oleh anak-anaknya.

Sementara itu, Zainol sebelum itu turut menziarahi Salleh Talib, 57, bekas banduan yang mencipta sejarah sebagai tahanan paling lama menjalani hukuman penjara di negara ini sebelum dibebaskan pada 3 Okt lepas.

Beliau menghulurkan sumbangan kepada Salleh dan bapanya yang uzur di kampung mereka di Changkat Jering dekat sini.

Salleh dan adik bongsunya Abdul Wahab, 37, kini sama-sama menjaga ayah mereka yang lumpuh, Talib Arabullah, 78, di rumah keluarga mereka di sini.

Beliau mempunyai seorang adik perempuan yang tinggal di Pokok Asam dekat sini dan dua adik lelaki yang tinggal di Baling, Kedah.

Salleh dan sahabatnya, Jamil Ahmad, dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat pada 1976 selepas terbabit dalam rompakan bersenjata di Baling, Kedah melibatkan wang gaji Felda sebanyak lebih RM50,000 ketika masing- masing berumur 27 dan 26 tahun waktu itu.

Mereka menjalani hukuman penjara selama 30 tahun, 11 bulan dan sembilan hari sebelum dibebaskan selepas diberi pengampunan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

– BERNAMA

No comments: