Friday, October 13, 2006

Pusat Islam UUM bantu remaja OKU

Utusan Malaysia, 13 oktober 2006

Oleh: SAMSUDIN OLI

DR. SHUKRI AHMAD (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Noraini Abdullah.

PUSAT Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) menyampaikan sumbangan lampin pakai buang dan barangan keperluan dapur kepada remaja perempuan, Norashikin Ismail, 22, di Kampung Kangar, Changlun, Kedah baru-baru ini.

Norashikin menghidap penyakit sindrom down sejak berusia empat tahun dan terpaksa memakai lampin kerana kerap membuang air kecil dan besar.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam UUM, Prof. Madya Dr. Shukri Ahmad.

Ibu Norashikin, Noraini Abdullah, 43, seorang suri rumah berkata, dia terpaksa berhenti kerja demi menjaga Norashikin dan tiga lagi anaknya iaitu Mohd. Isa, 19, Mohd. Shahir, 15, dan Nasri Rejab yang berusia setahun tujuh bulan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti yang menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga saya,” katanya.

Kehidupan mereka sekeluarga bergantung kepada suaminya, Rejab Mohamad, 71, yang bekerja sebagai penoreh getah.

Sementara itu, Shukri ketika ditemui pada majlis itu berharap sumbangan yang disampaikan itu dapat meringankan beban Noraini sekeluarga lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini.

Katanya, Pusat Islam UUM akan sentiasa memantau untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan sama ada dalam kalangan warga kampus atau masyarakat sekitar.

“Ini selaras dengan konsep masyarakat penyayang dan saranan Naib Canselor UUM, Datuk Dr. Nordin Kardi supaya khidmat komuniti juga diberi perhatian,” ujarnya.

Shukri dan para pegawainya menyampaikan sumbangan lampin pakai buang, gula, beras, milo, minyak dan tepung untuk kegunaan keluarga tersebut.

No comments: