Monday, October 30, 2006

Kisah sahabat: Kecacatan tak halang Ammar mati syahid

Berita Harian, 30 oktober 2006


AMMAR bin Jamooh tidak dikenali ramai, tetapi beliau adalah sahabat Rasulullah SAW yang sanggup menggadai nyawa demi ketinggian syiar Islam.

Beliau Walaupun seorang yang cacat fizikal (kakinya tempang), namun keinginan berjihad ke jalan Allah sentiasa berkobar-kobar, lebih-lebih lagi bila mendengar berita kemenangan dan kesyahidan pejuang Islam dalam peperangan Badar dan Uhud.

Sahabat Nabi SAW ini banyak mendampingi pejuang dengan harapan akan turut memanggilnya dalam sesuatu peperangan. Bagaimanapun, Rasulullah SAW mengecualikannya daripada berjihad, kata beberapa pejuang.

Perkara itu disambut dengan perasaan sedih oleh Ammar yang mempunyai empat anak lelaki menjawab: "Malang sekali diriku ini. Anak-anak lelakiku tentu akan masuk syurga sedangkan aku ditinggalkan di sini."

Malah, semangat dan keazaman bertambah lantaran isterinya mahukan dia turut berjihad di medan pertempuran. Ia kerana seorang wanita yang menjadi janda selepas suaminya gugur syahid di medan perang akan mendapat penghormatan yang tinggi di sisi masyarakat dan Islam. Katanya: "Wahai suamiku, aku tidak mencadangkan mereka melarangmu daripada menyertai peperangan ini. Nampaknya kamu sendiri berasa takut untuk ikut berperang."

Apabila mendengar desakan dan cabaran isterinya, Ammar pun menyiapkan segala kelengkapan perang lalu menghadap ke arah kiblat sambil memanjat doa dengan penuh khusyuk ke hadrat Allah.

Doanya: "Ya Allah! Janganlah kembalikan aku kepada keluargaku." Begitu sekali keazaman beliau.

Ammar kemudian menemui Rasulullah SAW sambil menerangkan maksud dan hajatnya, katanya: "Wahai Rasulullah! Aku ini terlalu cinta kepada mati syahid di dalam peperangan. Tetapi sahabatku yang lain selalu saja melarang aku daripada ikut berperang. Wahai Rasulullah! Aku tidak dapat lagi mengawal keinginanku untuk berjuang. Izinkanlah aku ikut serta."

Baginda cuba menahannya tetapi rupa-rupanya azam Ammar tidak dapat dikawal lagi.

Akhirnya beliau tersenyum kerana Rasulullah SAW membenarkan beliau pergi berperang. Dengan berbekalkan keazaman dan semangat jihad yang tinggi, Ammar tidak gentar untuk melawan musuh yang berkesudahan beliau bersama anak lelakinya mati syahid.

Berita kematian itu sampai ke pengetahuan isterinya, lalu beliau menunggang seekor unta dan terus ke medan perang untuk mengambil mayat suami dan anaknya untuk dibawa pulang.

Mayat mereka berdua diletakkan di atas belakang unta, akan tetapi unta itu tidak mahu berdiri dan bergerak. Isteri Ammar pun memukul-mukul unta itu supaya segera bangun, namun tidak juga mahu bangun.

Apabila melihat kejadian pelik ini, ia segera dimaklumkan kepada Rasulullah SAW . Lalu Baginda pun bersabda : "Sesungguhnya unta itu telah diperintah supaya berbuat demikian. Adakah Ammar telah berkata sesuatu sebelum keberangkatannya ke sini? "

"Ada," kata isterinya. "Sebelum berangkat dulu, Ammar telah mengadap ke arah kiblat dan berdoa supaya tidak akan kembali kepada keluarganya."

Dengan jawapan isteri Ammar, jelaslah bahawa unta itu enggan membawa mayat Ammar ke Kota Madinah. Maka disemadikan Ammar di bumi Uhud dengan gelaran syahid.

No comments: