Golongan OKU diberi siaran sempena Ramadan di IKIM.fm
Utusan Malaysia, 17 oktober 2006
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
BUAT pertama kali, stesen radio IKIM.fm menampilkan golongan orang kurang upaya (OKU) sebagai penyampai radio dan tetamu untuk rancangan Ramadan Untuk Yang Istimewa yang ke udara setiap Sabtu pukul 9 pagi bermula 30 September lalu.
Rancangan tersebut menampilkan Noor Muha Abdul Aziz sebagai penyampai, moderator dan juga motivator. Noor Muha cacat penglihatan sejak dua tahun lalu.
Program ini diadakan sebagai rasa tanggungjawab IKIM memartabatkan golongan istimewa.
Selain daripada Noor Muha, IKIM.fm juga menjemput Presiden Kelab Kecacatan Fizikal Klang, Mohd. Yusof Ahmad membantu dan berkongsi rasa tentang pengalaman kehidupan seharian golongan berkenaan.
Pada Sabtu lepas, tetamu istimewa bagi program ini ialah Amin Sharif Abdullah, 22, yang juga merupakan seorang yang cacat penglihatan dan telah dibesarkan oleh ibu angkatnya, Kathleen Muna Othman di England. Amin menceritakan mengenai tahap kesedaran masyarakat Barat mengenai golongan sepertinya berbanding masyarakat di Malaysia.
Sementara itu, bagi siaran 21 Oktober pula, panel jemputan untuk Ramadan Untuk Yang Istimewa akan menampilkan Pegawai Penempatan Persatuan bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Zainuddin Jasmi, Jacqueline Emmanuel, Sharif Baharom dan Mohd. Khairi Sulaiman.
Untuk siaran sempena menjelang Aidilfitri itu, Zainuddin akan menceritakan tentang berbagai bidang kemahiran yang disediakan oleh pihak MAB untuk golongan OKU dengan harapan golongan ini akan diberikan peluang pekerjaan sama seperti golongan lain.
Dengan terbitnya rancangan istimewa ini, IKIM.fm mengharapkan agar para pendengar dapat sama-sama menghayati keperitan dan kegigihan golongan ini untuk menikmati kemudahan dan kesenangan yang telah sedia terbentang.
Rancangan selama setengah jam yang diterbitkan oleh Zamri Zainal Abidin ini akan diteruskan selepas Ramadan nanti.
Frekuensi IKIM.fm di Lembah Klang ialah 91.5fm, Ipoh, Perak-102.7fm, Kuantan, Pahang-89.6fm, Negeri Sembilan-102.7fm, Pulau Pinang/Perlis/Kedah/Langkawi-89.0fm, Johor Bahru-106.2fm,, Melaka-89.5fm, Kota Bharu-89.8fm, Kuala Terengganu-100.2fm, Kota Kinabalu-93.9fm dan Kuching-93.6fm.
No comments:
Post a Comment