Beri peluang pada orang kurang upaya
Utusan Malaysia, 31 oktober 2006
Oleh LOKMAN ISMAIL
ORANG kurang upaya (OKU) dikategorikan sebagai individu tidak sempurna anggota, pancaindera dan mental sejak dilahirkan atau akibat penyakit, kemalangan dan unsur-unsur lain.
Bagi OKU masih di peringkat usia kanak-kanak, mereka lebih dikenali sebagai kanak-kanak istimewa.
Kehadiran anak kategori OKU merupakan satu cabaran besar bagi ibu bapa dan keluarga. Anak yang dianggap penyeri dan membawa suasana kegembiraan bertukar sebaliknya.
Kehidupan keluarga mempunyai anak atau ahli keluarga terdiri OKU sedikit sebanyak melalui perbezaan dari segi suasana dan cabaran. Sudah pasti tanggungjawab menjaga anak kategori OKU lebih mencabar dan memerlukan perhatian lebih.
Biarpun cacat, anak tetap memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa. Kecacatan tidak menjatuhkan taraf kemanusiaan terhadap individu berkenaan.
Ibu bapa yang mempunyai anak OKU tetap perlu menjalankan tugas rutin yang sepatutnya terhadap anak. Anak perlu diberi kasih sayang, didikan akhlak dan pendidikan akademik, mengikut kemampuan masing-masing.
Anak mengalami kecacatan penglihatan, pertuturan dan pendengaran mempunyai potensi untuk berjaya seperti anak normal jika diberi latihan dan pendidikan khas. Mereka sebenarnya mempunyai kemampuan mental dan perasaan seperti anak normal.
Di negara kita, banyak sekolah khas disediakan untuk mendidik pelajar dalam kategori OKU. Hasil semangat dan ketekunan, ramai OKU mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik sama seperti pelajar normal.
Dalam bidang kerjaya, ada antara OKU yang berjaya menjadi profesional dalam pelbagai bidang seperti akauntan dan peguam. Tidak kurang juga menjadi pensyarah, pakar ekonomi, usahawan dan pentadbir yang berjaya.
Bagi anak mengalami masalah kurang kemampuan otak atau Sindrom Down dan mungkin turut melibatkan kelemahan di bahagian lain anggota badan, pemulihan khas perlu dilakukan agar kemampuan mereka dapat ditingkatkan.
Kini terdapat kira-kira 313 pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang boleh menampung lebih 8,000 orang anak mengalami Sindrom Down. PDK merupakan satu program alternatif yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberi latihan dan pemulihan dalam masyarakat.
Membiarkan anak kategori OKU tanpa usaha pemulihan dan pendidikan yang sewajarnya akan menjadikan keadaan lebih buruk. Jika mereka diasuh dan diberi latihan, sudah pasti sedikit sebanyak penggantungan terhadap ibu bapa dapat dikurangkan apabila kemampuan fizikal dan mental bertambah baik.
Sikap ibu bapa tidak mahu menghantar anak kategori OKU ke pusat pendidikan berpunca kurang keyakinan kesannya dan juga rasa malu mempunyai anak sedemikian. Perasaan tersebut perlu dikikis.
Kerajaan mengambil usaha untuk membela nasib OKU. Pembelaan tersebut bukan setakat memberi bantuan latihan khas dan bantuan alat sokongan, tetapi memberi peluang untuk OKU sama-sama menyumbang tenaga dan fikiran untuk kemajuan negara.
Usaha berterusan kerajaan melalui kementerian dan jabatan, serta sokongan pihak swasta, pertubuhan kebajikan dan orang ramai memperlihatkan kesan positif dalam meningkatkan taraf hidup OKU. Di samping itu, sikap prejudis dan diskriminasi orang ramai terhadap OKU semakin berkurangan.
Apa pun, usaha paling berkesan perlulah datang daripada ibu bapa dan OKU sendiri. Segala usaha dilakukan kerajaan tidak mencapai matlamatnya jika masih ramai ibu bapa mempunyai anak OKU tidak memberi kerjasama menjayakannya. Bagi OKU yang sudah dewasa, usaha mereka sendiri menentukan kejayaannya.
No comments:
Post a Comment