Adun Tanjung Mas bantu penduduk dhaif
Oleh Atif Idris
KOTA BHARU, 16 Okt (Hrkh) – Golongan fakir miskin dan penduduk kurang upaya adalah antara mereka yang bernasib baik menjelang hari lebaran tidak lama lagi, apabila mendapat perhatian pemimpin kerajaan.
Di mana-mana sahaja sekarang majlis penyampaian bantuan kepada golongan itu diadakan. Begitu juga bagi wakil rakyat tunggal wanita di Kelantan, Rohani Ibrahim turut menghulur bantuan kepada rakyat di kawasannya.
Antara penerima bantuan di Dun Tanjung Mas termasuk seorang warga emas berusia 80 tahun, dua pesakit saraf dan seorang remaja yang menghidap kanser pankreas.
Menurut Rohani kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mereka yang kurang upaya tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, asalkan golongan tersebut benar-benar dhaif.
“Saya mendapat kerjasama penuh daripada penghulu-penghulu bagi mengenalpasti penduduk dhaif dan kurang bernasib di Dun Tanjung Mas untuk diberi sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya.
Selain itu, katanya rakyat di kawasan Dun Tanjung Mas yang menghadapi sesuatu masalah boleh mengemukakan aduan ke pejabat Adun di Berek 12.
Setiap pesakit terbabit menerima cek bernilai RM1,000 di samping buah tangan.
No comments:
Post a Comment