‘Mak, tangan abang putus’
Oleh Ramli Ibrahim
GUA MUSANG: “Mak tolong...mak, tangan abang putus terkena mercun. Cepat mak sakit ni,” kata Mohamad Hafifudin Zamri, 9, yang meminta tolong neneknya, Mek Nab Hassan, 49, kerana jari telunjuk kirinya terputus terkena serpihan mercun botol, malam kelmarin.
Kejadian berlaku di hadapan rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap, jam 8.30 malam, ketika Mohamad Hafifudin bermain mercun bersama lapan lagi rakan selepas berbuka puasa.
Menurut Mek Nab, dia memang terdengar bunyi letupan kuat dan tidak menyangka letupan itu mengakibatkan cucunya mengerang kesakitan.
“Saya bergegas keluar selepas terdengar suaranya dan terkejut melihat tangan kiri cucu berlumuran darah.
“Tak sangka, dia masih berani bermain mercun walaupun beberapa malam sebelum itu, saya bersama ibunya berulang kali melarang berkawan dengan rakannya itu kerana bermain mercun,” katanya.
Mek Nab berkata, cucunya kemudian dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) dan dia kehilangan jari telunjuk kiri kerana terputus selepas terkena serpihan mercun berkenaan.
Murid Sekolah Kebangsaan Renok Baru, dekat sini, itu mendakwa menemui mercun botol itu berdekatan anak sungai sebelum membawa balik untuk bermain bersama rakan di hadapan rumah.
“Cucu saya memegang mercun itu dan cuba mencucuh sumbunya dengan mancis sebelum ia tiba-tiba meletup,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Hafifudin ketika ditemui masih trauma dan tidak banyak bercakap.
No comments:
Post a Comment