Wednesday, October 18, 2006

Halimah tetap syukur jaga Rokiah dalam keadaan daif

Utusan Malaysia, 18 Oktober 2006

Oleh OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 16 Okt. – ‘‘Saya bersyukur walaupun kami hidup serba daif, namun anak saya yang lumpuh ini tetap dijaga dengan sebaik mungkin.

‘‘Saya reda dengan apa yang menimpa anak-anak. Bagi saya, naluri sebagai seorang ibu, saya sudah jalankan dengan sempurna,’’ kata Halimah Mat Taib, 68, yang juga nenek kepada tujuh beradik yang hidup dalam serba kedaifan.

Halimah yang baru saja kematian suaminya, Hamzah Awang tiga bulan lalu, kini terpaksa mengambil alih tugas ketua keluarga menyara dua anaknya.

Salah seorang anaknya ialah Rokiah Hamzah, 39, iaitu ibu kepada tujuh beradik miskin di Bukit Kayu Hitam itu kini koma akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya sejak Februari tahun lalu.

Sementara seorang lagi anak Halimah iaitu Suhaimi Hamzah, 35, menghadapi masalah mental.

Lebih menyedihkan, Halimah yang agak uzur hanya bergantung harap kepada wang pampasan insurans Rokiah sebanyak RM500 sebulan bagi menyara kehidupan anak-anaknya itu.

‘‘Sejak suami saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang meninggal, kami tiada sumber pendapatan. Kadangkala anak-anak yang lain ada hulurkan bantuan tetapi tak cukup.

‘‘Walaupun ada duit bantuan bulanan RM500, namun semuanya adalah untuk kegunaan Rokiah iaitu untuk bekalan susu, kain lampin dan yang lebihnya untuk ubat- ubatan,’’ katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan tujuh beradik terpaksa melalui keperitan hidup dan tinggal di rumah usang yang didirikan arwah bapa mereka di sebidang tanah wakaf di Kampung Titi Kerbau, Mukim Sungai Laka dekat Bukit Kayu Hitam.

Ketujuh-tujuh beradik itu, Mohd. Shafifi Abdul Rahman, 20, Siti Shafira, 17, Mohd Shafirul, 14, Siti Shafiha, 13, Siti Shatirah, 10, Mohd. Shafizi, 8, dan Siti Shafihah, 5, bagaimanapun bertekad untuk terus mengharungi hidup mereka.

Meninggal

Episod duka mula mengocak kehidupan tujuh beradik berkenaan setelah bapa mereka, Abdul Rahman Bakar meninggal dunia empat tahun lalu akibat serangan jantung.

Lebih memilukan, ibu mereka iaitu, Rokiah yang diharapkan dapat menggantikan tugas sebagai ketua keluarga kini koma setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Februari tahun lalu dan tinggal bersama Halimah yang juga nenek mereka di sini.

Menurut Halimah, dia juga sedih apabila merenung nasib cucu-cucunya yang hidup daif.

Walaupun mempunyai niat untuk menjenguk cucu-cucunya itu, namun katanya, hajat tersebut tidak kesampaian kerana mereka tinggal berjauhan.

‘‘Saya tak dapat pergi ke sana kerana jauh, tambang juga agak mahal. Lagipun, kalau saya pergi menjenguk mereka, nanti siapa pula yang akan jaga Rokiah,’’ katanya.

Bagaimanapun, Halimah berkata, dia bersyukur kerana cucu lelakinya iaitu Mohd. Shafifi ada kalanya berkunjung ke rumahnya.

‘‘Saya harap mereka semua dapat balik jenguk saya dan mak mereka pada Hari Raya,’’ katanya.

Dalam pada itu, kakak Rokiah, Sofiah Hamzah, 44, berkata, dia berharap anak saudaranya dapat tinggal bersama emak dan nenek mereka di Sungai Petani suatu hari kelak.

‘‘Sebelum ini kami pernah mengajak mereka tinggal di sini tetapi menghadapi beberapa masalah dari segi urusan persekolahan.

‘‘Bagaimanapun, saya berharap mereka dapat tinggal bersama di samping dapat membantu saya menjaga emak mereka (Rokiah),’’ katanya.

No comments: