Tuesday, October 17, 2006

Siswa jadi sukarelawan Sukan Fesfic

Berita Harian, 17 oktober 2006

SEBAHAGIAN besar daripada 2,200 sukarelawan Sukan Orang Kurang Upaya Bagi Timur Jauh dan Pasifik Selatan Kuala Lumpur 2006 (Sukan Fesfic KL’06) adalah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Sekretariat sukan itu, Leftenan Komandor (B), Kamaruzaman Kadir, berkata sambutan di kalangan pelajar paling baik berbanding penyertaan individu mahupun pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau berkata, tujuh sesi ceramah dan kursus untuk sukarelawan terbabit dijalankan bagi memastikan mereka mendapat gambaran sebenar mengenai tugas pada kejohanan seminggu, mulai 25 November ini.

Katanya, kursus itu merangkumi aspek motivasi, kaunseling dan psikologi kerana usaha mengendalikan orang kurang upaya memerlukan pemahaman tinggi terhadap golongan berkenaan.

Kursus itu dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Majlis Paralampik Malaysia, Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

Kamaruzaman berkata, jumlah sukarelawan sedia ada masih tidak mencukupi kerana penganjur memerlukan kira-kira 3,000 petugas bagi memastikan kejohanan kesembilan itu berjalan lancar.

Sambil menjelaskan Sukan Fesfic itu diadakan empat tahun sekali, Kamaruzaman berkata, bagi kejohanan di Malaysia, semua 19 acara sukan akan dipertandingkan di empat lokasi iaitu Kuala Lumpur, Bukit Jalil, Shah Alam dan Port Dickson.

Untuk mendapat keterangan lanjut, hubungi talian 03-2273 9293/013-3421730 atau 03-2693 0095 sambungan 4026.

FAKTA NOMBOR
Sukarelawan Sukan Fesfic KL’06

3,000 Diperlukan
2,200 Sudah mendaftar

No comments: