Fespic di KL temasya terakhir
Utusan Malaysia, 17 oktober 2006
KUALA LUMPUR - Sukan Fespic, sukan untuk orang kurang upaya (OKU) di Asia yang dianjurkan oleh Malaysia bulan depan, adalah yang terakhir menggunakan nama temasya itu.
Temasya berikutnya akan dikenali sebagai Sukan Para Asia yang tidak akan lagi disertai oleh negara-negara Asia Pasifik termasuk Australia.
Penstrukturan semula formasi untuk temasya itu oleh Majlis Paralimpik Antarabangsa menyaksikan Asia dan Pasifik Selatan dibahagikan kepada zon berasingan.
‘‘Kami bersedia untuk menganjurkan temasya akan datang ini yang merupakan yang terbesar dan paling diingati dalam sejarah Sukan Fespic,’’ kata Ketua Pegawai Eksekutif Fespic yang juga Pemangku Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Zainal Abu Zarin.
Sukan Fespic atau Sukan Timur Jauh dan Pasifik Selatan yang hanya disertai atlet-atlet OKU dari Asia, Asia Barat dan Oceania dan yang kedua terbesar selepas Sukan Paralimpik, diadakan di sekitar Kuala Lumpur dari 25 November hingga 1 Disember.
Zainal berkata, sebanyak 44 negara telah mengesahkan penyertaan masing-masing dalam temasya kesembilan itu.
Pada temasya kelapan di Busan, Korea Selatan pada 2002, sejumlah 43 negara mengambil bahagian.
Kerajaan Malaysia memperuntukkan RM25 juta untuk menganjurkan temasya itu dan persiapan untuk sukan itu sudah siap 80 peratus, kata Zainal.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Dr. Ramlan Aziz berkata, sebanyak RM6.4 juta lagi daripada peruntukan kerajaan digunakan untuk melatih pasukan kebangsaan.
Beberapa ketua kontinjen negara yang bertanding berada di Kuala Lumpur baru-baru ini untuk melihat gelanggang-gelanggang pertandingan dan persediaan Malaysia untuk temasya itu.
‘‘Saya gembira Malaysia menjadi tuan rumah. Saya boleh lihat semua persiapan yang mereka lakukan amat bagus dan kita akan mengharungi pengalaman yang amat baik di sini nanti,’’ kata Ketua Kontinjen Iraq, Nawsal A. Rasheed. Iraq mengambil bahagian kali pertama dalam temasya ini.
– AFP
No comments:
Post a Comment