Saturday, October 14, 2006

Tak mahu potong hingga ke lutut

Harian Metro, 14 oktober 2006

Oleh Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Saya tidak sanggup membedah kaki kanan saya sehingga ke paras lutut semata-mata kerana ingin mendapatkan pencen ilat,” kata seorang wanita, V Manchulla, 36, semalam.

Wanita berkenaan berkata, permohonannya untuk menerima pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) ditolak beberapa kali sebelum ini.

Beliau berkata, malah keluarganya difahamkan bahawa punca permohonannya gagal diluluskan kerana tidak memenuhi syarat iaitu hanya kehilangan kaki sebanyak 30 peratus.

Menurutnya, walaupun kehilangan sehingga ke paras pergelangan kaki selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya enam tahun lalu, permohonannya difahamkan tidak dapat diluluskan oleh jemaah doktor Perkeso.

Katanya, lebih mengejutkan, permohonannya ditolak dengan alasan dia tidak mengalami kehilangan kaki serius yang membolehkannya bekerja dan menyara hidupnya seperti biasa.

“Saya mula membuat permohonan kepada Perkeso sejak lima tahun lalu, namun sehingga kini masih gagal mendapat tuntutan pencen ilat kerana tidak diluluskan jemaah doktor.

“Saya difahamkan hanya individu yang mengalami kehilangan kaki sehingga 70 peratus iaitu membabitkan ukuran tertentu sahaja layak dan memenuhi syarat bagi mendapatkan pencen berkenaan, “ katanya.

Wanita berasal dari Simpang Renggam itu berkata, dia kecewa dan terkilan dengan beberapa rakannya yang memberi nasihat buruk termasuk memintanya menjalani pembedahan pemotongan kaki.

Beliau yang mengalami penyakit kencing manis mengakui bimbang tindakan itu bukan sahaja boleh membahayakan kesihatan, malah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, sehingga kini dia meneruskan usaha mendapatkan pencen ilat itu dengan membuat permohonan berulang kali.

“Saya bernasib malang kerana bukan sahaja kehilangan dua jari tangan akibat kemalangan di tempat kerja sembilan tahun lalu, malah kaki kanan kudung selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Kini saya terpaksa bergantung kepada pendapatan ibu tua yang berusia 60 tahun,” katanya.

No comments: