Usahawan mahu jadikan tujuh beradik anak angkat
Utusan Malaysia, 17 oktober 2006
Oleh ROSMAWATI MION
ALOR STAR 16 Okt. – Seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur sanggup untuk menjadikan tujuh beradik yang hidup dalam keadaan daif di Kampung Titi Kerbau dekat sini sebagai anak angkatnya.
Usahawan tersebut, Datuk Jamilah Bakar terlalu terharu dan simpati dengan nasib yang terpaksa diharungi tujuh beradik berkenaan selepas kematian bapa mereka, empat tahun lalu dan ibu mereka yang koma akibat kemalangan jalan raya.
Jamilah memberitahu, beliau dan suaminya Dr. Baharudin Ahmad terpanggil untuk membantu meringankan beban yang dipikul anak kedua keluarga tersebut, Siti Shafira Abdul Rahman, 17, yang terpaksa membahagikan masanya, antara kerja dan pelajaran semata-mata untuk kesenangan adik-adik yang lain.
‘‘Bagi saya, Siti Shafira tidak perlulah bekerja sebaliknya dia perlu menumpukan perhatian terhadap pelajaran kerana bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
‘‘Jika bantuan yang ada tidak mencukupi, kami sanggup mengambil mereka sebagai anak angkat dengan membiayai pembelajaran mereka sehingga tamat sekolah,” katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kisah keperitan hidup tujuh beradik yang berteduh di rumah usang di Kampung Titi Kerbau, Mukim Sungai Laka, Bukit Kayu Hitam dekat sini, setelah kematian ayah mereka, Abdul Rahman Bakar, empat tahun yang lalu.
Ketujuh-tujuh beradik itu juga sanggup tinggal di rumah yang didirikan bapa mereka di sebidang tanah wakaf kerana tidak mahu antara mereka dipisahkan, malah kekuatan ikatan itu membuatkan mereka bertekad untuk mengharungi cabaran hidup bersama-sama.
Jamilah yang menghubungi Utusan Malaysia di sini memberitahu, buat permulaan sempena menjelangnya Hari Raya Aidilfitri, beliau akan menyumbangkan sebanyak RM1,000 untuk membolehkan tujuh beradik berkenaan menyambut Hari Raya dalam keadaan ceria.
Jelasnya, beliau akan selalu berhubung dengan tujuh beradik itu untuk menyara persekolahannya bagi memastikan pendidikan mereka tidak terabai disebabkan kehilangan tempat bergantung.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Wanita dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Khalidah Adibah Ayob berkata, apabila menyedari tentang kehidupan daif yang dilalui oleh tujuh beradik itu, pihaknya sudah mengarahkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memohon bantuan rumah untuk mereka di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).
‘‘Permohonan mendapatkan rumah PPRT telah dibuat tahun lalu dan kini telah pun diluluskan,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah memberitahu, ketujuh-tujuh beradik itu juga telah mendapat bantuan sebanyak RM450 sebulan sejak awal 2006.
Jelas jurucakap itu, sebelum itu, mereka mendapat bantuan khusus untuk kanak-kanak sebanyak RM350 yang bermula pada tahun 2003 dan kadar tersebut kemudian dinaikkan sebanyak RM450 pada tahun 2006.
No comments:
Post a Comment