Wednesday, October 11, 2006

Edisi Selatan : ‘Tolonglah, saya nak berdikari’

Harian Metro, 11 oktober 2006

Oleh Ahmad Othman

KOTA TINGGI: “Tolonglah, kalau ada kursus kemahiran atau pekerjaan yang sesuai untuk membolehkan saya menimba ilmu sekali gus menyara diri kelak.”

Keluhan itu diluahkan Mohd Syaiful Bahri Marme, 18, anak bongsu daripada 11 beradik yang berusaha untuk berdikari dan memajukan diri sendiri walaupun dikategori sebagai remaja cacat.

Mohd Syaiful adalah mangsa kebakaran dalam satu tragedi pada 1990 ketika berusia dua tahun.

Beliau berkata, menurut cerita bapanya, Marme Majid, 65, kejadian 16 tahun itu berlaku ketika ibunya bekerja dan beliau tinggal bersama bapanya di rumah mereka di Blok 2, Felda Aping Barat, dekat sini.

Katanya, menjelang waktu Maghrib, bapanya memasang lampu pam dan ketika hendak mengantung alat itu pada tiang alang bumbung, tiba-tiba lampu itu meletup.

“Ketika itu saya berbaring di lantai dan percikan minyak serta api itu menyambar tubuh saya di bahagian muka dan tangan.

“Jeritan bapa meminta tolong membuatkan jiran bergegas datang membantu dan berjaya memadamkan kebakaran di lantai kayu dan beberapa peralatan lain.

“Saya dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi kira-kira 29 kilometer dari tanah rancangan itu dan kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan dirawat selama beberapa bulan,” katanya.

Mohd Syaiful berkata, kerana usianya yang masih bayi, kesakitan akibat penderitaan tubuh terkena api itu tidak dirasainya.

Namun katanya, apabila umur sudah meningkat, dia terpaksa meneruskan kehidupan dan menyesuaikan diri disebabkan kesan parut di muka, leher dan tangan.

“Jari di kedua-dua tangan saya kudung selepas dipotong akibat terbakar teruk dan saya kehilangan kedua-dua cuping telinga serta kesan parut kekal di kulit kepala menyebabkan hanya sebahagian kecil ditumbuhi rambut.

“Ketika di bangku sekolah, saya menggunakan kedua-dua belah tangan untuk mengepit pensil ketika belajar menulis.

“Guru, ahli keluarga dan pelajar lain banyak membantu dan memberi dorongan. Saya bersyukur mereka sentiasa membantu serta tidak pernah terasa disisihkan,” katanya.

Menurutnya, dia menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan lulus dengan kepujian dalam subjek Bahasa Melayu.

“Selepas menerima keputusan SPM awal tahun ini, seperti rakan-rakan lain saya mempunyai keinginan untuk menyambung pengajian.

“Tetapi, dengan keputusan yang minimum itu, saya hanya layak memohon kursus Teknologi Kerja Paip yang diiklan Instituit Kemahiran Mara (IKM),” katanya.

Mohd Syaiful berkata, beliau tidak menerima apa-apa bantuan dan tidak tahu sama ada layak untuk mendaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

“Buat sementara ini, sejak Mei lalu, saya diterima bekerja sebagai pembantu am di kafe makanan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor Bahru dan bersyukur hasil pendapatan itu dapat menyara diri.

“Saya rasa tentu ada kursus atau agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dapat membantu saya menjalani kursus kemahiran yang sesuai kerana saya tidak memilih, asalkan dapat menimba kemahiran yang akan membantu menyara hidup saya di kemudian hari” katanya.


No comments: