Tuesday, October 10, 2006

Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia: Tekanan hidup penyebab bunuh diri

Berita Harian, 10 oktober 2006


Individu bermasalah lazim beri isyarat mengenai konflik diri termasuk berkelakuan aneh sebelum ambil tindakan di luar kawalan

FAKTOR PENYEBAB: Bukan semua pesakit mental
berakhir dengan kejadian bunuh diri.
(Gambar hiasan)

BUNUH diri bukan perkara baru. Beberapa selebriti ternama dunia yang dikatakan mengakhiri hayatnya dengan membunuh diri seperti Marilyn Monroe, menjadi sebutan hingga ke hari ini. Kematian beliau turut mengheret nyawa puluhan peminatnya yang melakukan perkara sama kerana berasa kosong selepas kehilangan beliau.

Klip video penyanyi Britney Spears sedikit masa lalu, juga pernah mencetuskan kontroversi, dihentam lantaran memaparkan dirinya kecewa lalu membunuh diri. Pengkritik menyatakan aksinya itu boleh mempengaruhi remaja khususnya mengambil jalan sama dengan membunuh diri kerana kecewa.

Senario di atas jelas menunjukkan pelbagai faktor seseorang itu melakukan bunuh diri. Abstrak, malah sesiapapun berpotensi untuk melakukan perkara sama. Realitinya individu yang membunuh diri, tidak bermaksud untuk menamatkan riwayat hidupnya dalam cara tragis, menyakitkan dan memalukan.

Hambatan luaran seperti kebuntuan fikiran, berserabut, tekanan dan bebanan dialami hingga sanggup memutuskan nyawanya tidak berharga lagi, ‘memekik’ dan merintih meminta bantuan.

Dalam berita susulan beberapa kejadian bunuh diri yang dilaporkan akhbar, keluarga, saudara atau kenalan selalunya ‘dapat membaca’ perubahan ditunjukkan sebelum seseorang itu mati bunuh diri seperti “Patutlah A nampak gelisah” atau “A pernah berkata ingin bunuh diri tetapi saya fikir itu hanya gurauan”.

Perunding Psikiatrik, yang juga Ahli Lembaga Persatuan Pencegahan Bunuh Diri Antarabangsa (IASP), Prof Maniam Thambu, berkata seseorang individu memutuskan untuk membunuh diri lazimnya memberi ‘isyarat’ apa yang dilakukan itu.

Selain kelakuan yang agak aneh, tutur kata seperti ‘Saya sudah tidak berdaya lagi’ atau ‘Saya berfikir untuk menamatkan semuanya’, perlu diberi perhatian oleh orang yang mendengar atau memerhatikan perubahan sikap ditunjukkan.

Apa yang menjadi kebimbangan ialah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan anggaran sejuta kes bunuh diri setiap tahun, mewakili 1.4 peratus daripada serangan penyakit secara total. Lebih ramai pula berbuat demikian berbanding kes kematian akibat peperangan dan serangan pengganas.

Di Malaysia, kejadian bunuh diri dianggarkan 10 hingga 12 kes per 100,000 orang dan bilangan itu dijangka meningkat andai tidak diberikan perhatian sewajarnya. Walaupun rekod menunjukkan, kaum India mendahului jumlah bunuh diri, tetapi bilangan Melayu menunjukkan peningkatan.

Prof Maniam berkata, sakit mental adalah penyumbang kepada bunuh diri tetapi bukan faktor utama kerana banyak elemen lain mempengaruhi seseorang untuk mengambil keputusan membunuh diri.

“Teknik dilakukan adalah pelbagai seperti menggantung diri atau minum racun serangga, terjun dari bangunan tinggi atau menghidu gas beracun. Bagaimanapun teknik itu banyak dipengaruhi laporan media kerana dalam satu kes saya kendalikan, individu yang ingin bunuh diri itu membawa keratan akhbar menunjukkan gambaran bagaimana penyambungan getah paip dilakukan untuk melakukan bunuh diri di dalam kereta.

“Malah dalam sebuah kejadian di luar negara, seorang kanak-kanak sekolah rendah mati dan dikenal pasti bunuh diri selepas berjinak dengan laman web yang mengajar membunuh diri. Teknik yang ditunjukkan itu dipraktikkan sendiri hingga meragut nyawanya,” katanya ketika ditemui pada taklimat media sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut 10 Oktober setiap tahun, di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sambutan kali ini bertemakan Bina Kesedaran - Kurangkan Risiko: Kesakitan Mental dan Bunuh Diri kerana dalam kebanyakan kes, individu membunuh diri bukanlah pesakit mental yang didakwa gagal diberikan rawatan kerana ada dikalangan mereka yang sempurna fikiran.

Beliau berkata, bunuh diri boleh dielakkan andai individu peka terhadap perubahan seseorang, serta memantau perkara yang menggalakkan sesuatu daripada berlaku. Memulaukan laman yang mempromosi bunuh diri seperti berlaku kepada laman pronografi adalah antara cara terbaik perlu diambil oleh pihak kerajaan.

“Program yang perlu dijalankan kerajaan seharusnya turut mengambil kira sensitiviti kaum di negara ini selain mengumpulkan data tepat sambil mengambil contoh kejadian di luar negara. Antara strategi yang perlu diambil ialah memperkasakan sebuah unit khas yang boleh menyampaikan maklumat kepada orang ramai, selain kerjasama dengan sektor swasta atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Peranan media tidak harus diketepikan kerana media yang tidak mensensasikan sesuatu tidak akan menyebabkan kejadian seperti itu berlaku. Pengumpulan data juga seharusnya dilakukan sebaik mungkin kerana dengan data langkah pencegahan dapat dijalankan dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Khidmat Psikitrik, Kementerian Kesihatan, Dr Suarn Singh, berkata pengesanan awal mampu mencegah seseorang itu daripada membunuh diri kerana selalunya banyak petanda ditinggalkan oleh insan yang melakukan perkara berkenaan.

Katanya, kebanyakan bunuh diri berlaku di kalangan individu yang bermasalah seperti kemurungan, penyalahgunaan dadah atau alkohol. Situasi membunuh diri juga adalah pelbagai seperti sejarah keluarga yang terbabit dalam bunuh diri, didera secara mental atau fizikal, kematian kenalan rapat; putus kasih sayang; gagal dalam peperiksaan serta hilang pekerjaan.

“Antara petanda yang selalu ditunjukkan mereka termasuklah menjadi seseorang yang murung atau terpinggir; menunjukkan tanda perubahan dalam tingkah laku, sikap dan penampilan selain semakin berjinak dengan benda khayal dan melekakan seperti dadah dan alkohol,” katanya.

Faktor lain menyebabkan bunuh diri berlaku termasuklah sejarah keluarga yang mana andai salah seorang ahli keluarga pernah membunuh diri, terutama yang membabitkan bunuh diri tragis, besar kemungkinan ada lagi ahli keluarga yang akan menyusul perbuatan sama apatah lagi jika beliau terbabit dalam kemurungan. Bagaimanapun kemurungan, boleh diubati andai segera mendapatkan rawatan.

Bagi individu yang dipengaruhi alkohol, kemungkinan bunuh diri adalah tinggi kerana ia akan terpengaruh melakukan sesuatu di luar kawalan. Kadar tinggi bunuh diri juga dikaitkan dengan seseorang di bawah pengaruh bahan ini.

Dr Suarn berkata, pengangguran juga antara faktor utama seseorang itu membunuh diri kerana andai tidak memiliki pekerjaan, seseorang itu akan rasa terasing, tidak diperlukan selain berhadapan masalah kewangan. Malah, ia antara risiko terbesar seseorang itu murung dan membunuh diri.

“Dalam banyak kes bunuh diri, lelaki dikatakan empat kali ganda lebih tinggi mengambil keputusan membunuh diri dan selalunya tindakan diambil lebih ganas seperti menggantung diri dan tembak. Mungkin mereka berfikir, meminta bantuan hanyalah tanda seseorang itu lemah.

“Bunuh diri juga selalu dikaitkan dengan tarikh tertentu yang mana pada tarikh perayaan ia mencatatkan jumlah rendah, sebaliknya selepas itu ia meningkat dengan lebih tinggi. Justeru, menangani bunuh diri, masyarakat harus mempromosi kesejahteraan mental kerana ia akan mengurangkan kejadian berkenaan di kalangan pesakit yang mengalami kemurungan.

“Program Pencegahan Bunuh Diri Kebangsaan yang diperkenalkan pada 2003 perlu diperluaskan peranannya dalam membantu menangani masalah ini. Unit Kesihatan Mental, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan yang ditubuhkan membantu mempromosi kesedaran awam terhadap tingkah laku bunuh diri; menyediakan kumpulan sokongan emosi seperti kaunseling antara langkah membantu,” katanya.




Mitos bunuh diri:

  • Individu yang bercakap mengenai bunuh diri tidak akan melakukan perkara berkenaan.

  • Andai seseorang itu berniat untuk melakukan bunuh diri, tiada apa yang dapat menghalangnya dari melakukan perkara itu.

  • Individu yang memutuskan untuk membunuh diri adalah individu yang tidak sanggup mendapatkan pertolongan.

  • Bercakap mengenai bunuh diri akan memberikan idea kepada seseorang untuk membunuh diri.

    Fakta: Penyumbang bunuh diri

  • Faktor risiko utama bunuh diri ialah sakit mental, bagaimanapun bukan semua yang menghidap sakit mental berakhir dengan kejadian sedemikian. Tetapi banyak lagi faktor lain mempengaruhi tindakan berkenaan seperti biologi, psikologi dan sosial.

  • Di Asia, sakit mental adalah faktor risiko paling kuat dikaitkan dengan bunuh diri, malah kajian dari Taiwan, India, China dan Hong Kong membuktikan hubungan kuat antara kemurungan, skizofrenia, ketagihan alkohol dan bunuh diri.

  • Individu yang menghidapi bipolar (sel saraf yang mempunyai dua unjuran memanjang pada arah berlainandaripada badan sel), 12 hingga 20 kali besar kemungkinan membunuh diri berbanding individu yang bebas daripada bipolar. Jangka hayat individu bunuh diri yang berhadapan kemurungan dianggarkan lebih kurang 10 hingga 15 peratus. (Bipolar menyerang lelaki dan wanita, dalam kadar satu dalam setiap 200 orang). Di Malaysia usia bunuh diri paling muda dicatatkan ialah 10 tahun.

  • Alkohol atau isu berkaitan penderaan akan melipatgandakan risiko bunuh diri di kalangan individu menghidap sakit mental. Kajian dijalankan di Kanada dan Itali mendapati individu dengan sakit mental yang bergantung kepada dadah atau alkohol mempunyai 40 peratus kadar jangka hayat membunuh diri berbanding 24 peratus yang tidak bergantung dengan bahan berkenaan.
  • No comments: