Monday, October 16, 2006

Mohd Imran putus dua jari

Berita Harian, 16 oktober 2006


SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun putus dua jari tangan kirinya, manakala tiga lagi jarinya melecur selepas mercun bola yang dipegangnya meletup ketika sedang bermain bersama rakannya pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika mangsa, Mohd Imran Hafiz yang baru pulang dari tadika bermain mercun bola bersama rakan sebaya di depan rumahnya di Felda Lubuk Merbau, Sik dekat sini.

Akibat kejadian itu, Mohd Imran kehilangan jari kelingking dan jari hantu, manakala tiga lagi jarinya melecur. Mangsa kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Lubuk Merbau sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Petani (HSP).

Ibunya, Noryam Hitam, 44, berkata anaknya dikatakan memegang mercun bola manakala rakannya menyalakan sumbu.

Mohd Imran dikatakan tidak sempat membaling mercun itu menyebabkan ia meletup dalam genggamannya.

Noryam berkata, beliau tidak sedar anaknya bermain mercun kerana terus masuk ke dalam rumah sebaik pulang daripada menjemput Mohd Imran di tadika.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kuat dan Mohd Imran menjerit.

"Saya berlari ke depan dan mendapati dia sedang meraung dengan tangan kirinya berlumuran darah. Kawannya memberitahu Mohd Imran terkena mercun," katanya ketika ditemui di HSP di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Imran berkata, dia tidak mahu lagi bermain mercun selepas ini.


No comments: