Sunday, October 01, 2006

Akhirnya Amir bertemu ‘Insp. Aleza’

Utusan Malaysia, 1 oktober 2006

Oleh Norhana Salashar Basharuddin

Tabik... ‘Insp. Aleza’ yang dilakonkan oleh Abby Abadi (kiri) membetulkan tabik hormat Mohd. Amir Mokhtar pada sesi penggambaran drama bersiri Gerak Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Sept. – “Saya rasa gembira dan terharu kerana dapat bertemu dengan Inspektor Aleza,” kata remaja lembam fikiran, Mohd. Amir Mohd. Mokhtar, 23, sambil tersenyum malu.

Impian Mohd. Amir untuk menemui ‘Inspektor Aleza’ yang wataknya dilakonkan oleh Abby Abadi dalam drama bersiri Gerak Khas akhirnya tercapai apabila dia dipertemukan dengan pelakon itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Selain menemui Abby, Mohd. Amir turut dibawa bertemu dengan para pelakon Gerak Khas yang kebetulan berada di situ untuk penggambaran drama Gerak Khas siri Tumpas.

Pada pertemuan itu, remaja tersebut sempat menyanyikan beberapa rangkap lagu Gerak Khas bersama Abby di hadapan pelakon-pelakon lain.

Mohd. Amir turut menerima ‘durian runtuh’ apabila penerbit drama tersebut, Datuk Yusuf Haslam memberikan duit raya sebanyak RM500 kepadanya.

Dalam pertemuan lebih dua jam itu, Mohd. Amir ditemani bapanya, Mohd. Mokhtar Adam, 54, ibunya, Aminah Juraimi, 54, dan adiknya, Siti Amirah, 18.

Dia turut berpeluang bertemu dengan Yusuf yang bergegas datang sebaik saja mengetahui remaja tersebut sudah menunggunya di situ.

Mohd. Amir yang tiba di ibu negara malam tadi bersama keluarganya memberitahu, dia sangat gembira kerana tidak sangka berpeluang bertemu dengan pelakon-pelakon drama kesukaannya.

Minggu lalu, Mohd. Amir yang mengalami masalah lembam fikiran dikatakan menunggang motosikal sejauh lebih 500 kilometer dari rumahnya di Kampung Tengah, Tualang, Pokok Sena, Kedah ke sini, semata-mata mahu mencari pelakon Gerak Khas.

Dia yang menunggang motosikal Modenas Kriss milik bapanya itu dikatakan keluar rumah dengan membawa beg pakaian dan wang tunai RM800.

Bagaimanapun wang tunai miliknya sebanyak RM350 disamun penagih dadah ketika dia berada di ibu negara.

Dalam pada itu Abby ketika ditemui melahirkan rasa terharu kerana Mohd. Amir benar-benar meminati drama lakonannya sehingga sanggup menunggang motosikal seorang diri ke ibu negara semata-mata mahu mencarinya dan rakan-rakan.

‘‘Saya tidak sangka remaja seperti Amir mempunyai keberanian seperti itu untuk menunggang motosikal seorang diri ke Kuala Lumpur untuk mencari kami.

‘‘Saya sangat menghargainya dan dalam masa yang sama kasihan dengan Amir kerana menjadi mangsa samun ketika itu,’’ ujarnya yang terharu kerana mempunyai peminat setia seperti Mohd. Amir.

Terkejut

Sementara itu Yusuf berkata, dia juga sangat gembira dapat bertemu dengan Mohd. Amir setelah mengetahui kisah remaja itu melalui akhbar Mingguan Malaysia.

‘‘Seperti Abby, saya juga sangat terkejut kerana dia sanggup datang ke sini seorang diri semata-mata mahu berjumpa dengan kami semua.

‘‘Drama Gerak Khas benar-benar meninggalkan kesan mendalam terhadap dia sehingga mempunyai keberanian sebegitu,’’ katanya.

Yusuf yang juga Pengarah Urusan Skop Production dalam pertemuan tersebut memberitahu akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama keluarga remaja itu serta krew Gerak Khas di Restoran Haslam di sini petang ini.

‘‘Majlis itu nanti akan memberi peluang kepada Amir untuk beramah mesra dan berada dengan lebih dekat bersama pelakon-pelakon Gerak Khas,’’ jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, bapa Mohd. Amir, Mohd. Mokhtar mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana bersungguh-sungguh mempertemukan anaknya dengan pelakon-pelakon Gerak Khas.

‘‘Saya sangat gembira kerana impian Amir untuk bertemu mereka tercapai.

‘‘Terima kasih saya ucapkan kepada Yusuf kerana sudi menanggung semua perbelanjaan kami sepanjang berada di sini termasuk menyediakan tempat penginapan dan pengangkutan.

‘‘Budi mereka akan saya ingat sampai bila-bila,’’ ujarnya.

No comments: