Bekas askar terima kerusi roda
Berita Harian, 1 oktober 2006
GEORGETOWN: Tujuh ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia Pulau Pinang (PBTMPP) masing-masing menerima wang tunai RM300 dan dua kerusi roda sumbangan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Wong Kam Hoong, di Wisma Perwira Markas 2 Divisyen, Bayan Baru, kelmarin.
GEORGETOWN: Tujuh ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia Pulau Pinang (PBTMPP) masing-masing menerima wang tunai RM300 dan dua kerusi roda sumbangan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Wong Kam Hoong, di Wisma Perwira Markas 2 Divisyen, Bayan Baru, kelmarin.
Sumbangan itu bersempena Aidilfitri yang akan disambut umat Islam bulan depan.
Tajudin Che Sab dan Ismail Hassan masing-masing menerima wang tunai dan kerusi roda manakala lima menerima sumbangan wang tunai.
Tajudin dan Ismail kehilangan sebelah kaki akibat terkena jerangkap samar ketika menyertai Operasi Selamat Sawadi pada 1978 selama sebulan di Betong, Thailand.
Wong yang juga Timbalan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung bekas perajurit terutama yang cedera ketika mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman komunis.
"Kita sebenarnya amat terhutang budi kepada mereka yang berani memperjuangkan kedaulatan negara sehingga Malaysia berada dalam keadaan aman dan harmoni seperti hari ini," katanya.
Hadir sama, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Staf Markas 2 Divisyen, Kolenal Abdul Halim Jalal.
Sementara itu, Tajudin dan Ismail ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana sumbangan yang diberikan kepada mereka dan berharap rakan lain yang senasib dengan mereka mendapat perhatian serta pembelaan yang sewajarnya.
"Saya sangat gembira dan berasa dihargai walaupun sudah lama berhenti berkhidmat dalam angkatan tentera," katanya.
No comments:
Post a Comment