Wednesday, October 25, 2006

Jaga 6 anak istimewa

Harian Metro, 24 oktober 2006

Oleh Sharifah Salwa Sayed Hassan
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Walaupun enam anaknya terencat akal, ibu bekas pemain bola sepak Terengganu, Ahmad Alfian Abd Aziz, 26, tabah mengharungi dugaan itu tanpa membezakan kasih antara mereka.

Ketabahan Fauziah Ngah, 48, cukup teruji sepanjang Ramadan lalu kerana selain terencat akal, seorang anaknya itu hiperaktif dan kebanyakan mereka sering menimbulkan huru-hara dalam rumah termasuk memecahkan barang dan melarikan diri.

Fauziah berkata, hanya dua anaknya normal, iaitu Alfian yang juga anak sulung dan anak keduanya, Suraya, 25, yang kini bekerja sebagai kakitangan awam di Putrajaya.

Fauziah berkata, anak ketiga sehingga kelapan dilahirkan normal tetapi kebanyakannya mengalami perubahan fizikal sehingga terencat akal selepas diserang sawan ketika kecil.

“Tapi, Suriani, 18, tidak diserang sawan. Sikap fizikal dan mentalnya berubah seperti abangnya, Mohd Yazid, 22, Mohd Syukri, 20 dan kakaknya, Sofea, 19, ketika membesar.

“Anak bongsu saya, Mohd Amir Haikal, 6, juga hyperaktif dan sukar dikawal seperti Mohd Yazid yang sering memecahkan pintu almari dan tingkap apabila mengamuk,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Fauziah dan enam anaknya menetap bersama suami, Abd Aziz Jalil, 60, di sebuah rumah pangsa dua bilik yang sempit di Kampung Kolam, di sini.

Menurutnya, hanya Alfian dan Suraya menjadi tempat bergantung kerana suaminya sudah bersara dan kini bekerja kontrak dengan Syarikat Air Terengganu (Satu) dan dibayar upah harian.

Fauziah yang menghidap kencing manis berkata, seorang lagi anak, Mohd Rizal, 12, dihantar ke sekolah istimewa.

Menurutnya, sikap Mohd Yazid yang sukar dikawal menyebabkannya terpaksa dibiarkan berada di luar rumah walaupun anaknya itu tidak tahu menguruskan diri dan sentiasa memakai lampin pakai buang.

“Dia perlu diberi makan ubat setiap hari kerana boleh diserang sawan dalam tiga hari manakala Mohd Syukri juga pakai lampin dan perlu dibantu untuk mandi dan berpakaian,” katanya.

Fauziah berkata, Sofea dan Suriani boleh mandi dan memakai baju sendiri tetapi semuanya perlu diperhatikan.

Malah, Sofea pernah dilihat duduk bersama penagih dadah di tangga rumah pangsa itu tanpa menyedari bahaya boleh menimpanya.

“Sejak itu, saya tak membenarkannya keluar dan dikurung setiap hari bersama tiga abang dan adiknya yang sering menjerit dan menangis dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi masih tidak cukup untuk menyara keluarga kerana terpaksa membayar sewa lebih RM100 manakala upah suaminya pula kecil.

Fauziah berkata, dia tidak tahu punca enam anaknya mengalami penyakit itu.

Sementara itu, Pengarah JKM, Adnan Abu Bakar, berkata pihaknya memang memberi bantuan penuh iaitu RM450 kepada keluarga itu mengikut peruntukan disediakan.

No comments: