Friday, October 13, 2006

Lelaki kudung cuba bunuh kena 5 tahun

Berita Harian, 13 oktober 2006

Samri memandu secara berbahaya, langgar detektif polis

ALOR STAR: Seorang lelaki kudung dan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun serta empat sebatan akhir tahun lalu kerana memiliki dadah, semalam dikenakan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan cuba membunuh.

Hakim Mahkamah Sesyen, Chan Jit Li, memerintahkan hukuman ke atas tertuduh, Muhammad Samri Hashim, 29, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 7 Julai tahun lalu.

TERIMA HUKUMAN: Muhammad
Samri yang kudung kaki kanan
dibawa keluar dari Mahkamah
selepas dijatuhi hukuman penjara
5 tahun kerana kesalahan
cubaan membunuh.


Dia mengaku salah atas tuduhan memandu secara berbahaya dan melanggar seorang detektif polis, Lans Koperal Johari Othman, sehingga boleh membawa maut.

Muhammad Samri yang kudung kaki kanan kini menjalani hukuman di Penjara Pokok Sena atas kesalahan kes dadahnya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu jam 6.40 petang di depan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keat Hwa, Jalan Kampung Perak di sini dengan memandu kereta jenis Perodua Kancil, nombor pendaftaran AED9757, 7 Julai tahun lalu.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon maaf di atas kesalahannya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu di samping meminta mahkamah meringankan hukuman kerana dia mengalami kecacatan fizikal.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana perbuatannya itu membabitkan nyawa seorang anggota polis yang sedang bertugas.

"Bukan saja tertuduh cuba melanggar anggota polis yang ingin menahannya, tetapi pada masa sama mangsa sedang menyelamatkan pelajar yang keluar dari sekolah daripada dilanggar tertuduh.

"Berdasarkan kepentingan awam dan fakta kes, tertuduh wajar dijatuhkan hukuman setimpal bukan saja sebagai pengajaran kepada tertuduh malah kepada orang lain," katanya.

No comments: