Friday, October 06, 2006

Kasihnya Embun kepada anak-anak yatim

Utusan Malaysia, 6 oktober 2006

Oleh: ANGELINA SINYANG

ANAK-ANAK didik Embun yang memanggilnya Opah mengelinginya sambil bergurau senda di hadapan asrama Yayasan Hikmah di Gopeng, Perak baru-baru ini.

WARGA Amerika Syarikat berketurunan Sepanyol, Charles Cerda deVelaresto Conway merupakan seorang daripada Pegawai Penempatan British di Tanah Melayu pada sekitar tahun 1900.

Semasa bertugas di Perak, pemuda kacak bermata biru ini telah jatuh cinta dengan seorang gadis Melayu bernama Maimunah Karim. Conway tidak bertepuk sebelah tangan kerana rupa-rupanya Maimunah juga menyimpan perasaan yang sama.

Tanpa menunggu lama, Conway mengambil keputusan memeluk agama Islam dengan menggunakan nama Mohd. Ali Abdullah untuk berkahwin dengan Maimunah.

Beliau yang sangat suka kepada binatang mengambil keputusan berhenti kerja dengan kerajaan British kerana ingin menyertai pertunjukan sarkas sebagai kerjaya barunya.

Rumahtangga Conway dan Maimunah bertambah lengkap apabila mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Embun pada 5 November 1919.

Kebahagian pasangan suami isteri itu bagaimanapun musnah semasa Embun berusia enam tahun gara-gara keengganan Maimunah mengikut suaminya berhijrah ke Sepanyol.

Sejak itu, Embun terpaksa tinggal bersama neneknya di Kampung Gunung Panjang, Perak kerana ibunya juga berkahwin baru dan mengikut suaminya berpindah ke tempat lain.

Meskipun dijaga dengan penuh kasih sayang oleh neneknya, jiwa Embun tetap terasa kosong kerana hidupnya ibarat anak yatim piatu tanpa belaian ibu dan ayah tercinta.

Berkat ketabahan, Embun berjaya menamatkan persekolahan sehingga ke darjah lima dan dengan kelulusan itu beliau diterima menjadi guru mengajar subjek Sains Rumah Tangga kepada murid-murid sekolah rendah pada 1935.

Kerjaya beliau dalam bidang perguruan terus cemerlang selepas diterima mengikuti latihan sebagai guru terlatih di Malay Women Training College di Melaka pada 1937.

Semasa mengajar di Sekolah Kebangsaan Malim Nawar, Perak pada 1945, tercetus Perang Dunia Kedua dan Embun berhenti bekerja sebagai guru kerana enggan berkhidmat di bawah pemerintahan Jepun.

Apabila British datang semula ke Tanah Melayu selepas perang, Embun kembali menyambung tugasannya sehinggalah beliau bersara dengan jawatan sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Seri Kepayang Fair Park, Ipoh.

Pengalaman membesar tanpa ibu bapa pula mendorong beliau menubuhkan Asrama Anak-Anak Yatim/Miskin Yayasan Hikmah bertujuan menegakkan syiar Islam melalui pendidikan dan kebajikan.

Asrama anak yatim terletak di Desa Kenangan, Kampung Pintu Padang, Sungai Itek, Gopeng, Perak ini ditubuhkan pada 1991 bersama suaminya yang juga bekas nazir sekolah, Allahyarham Din Kimi.

Pasangan suami isteri ini menggunakan wang pencen yang dikumpul selama 18 tahun berjumlah RM250,000 untuk membina asrama ini yang dilengkapi kemudahan seperti tempat tinggal, perpustakaan, bilik darjah, dewan perhimpunan dan dewan makan serta padang permainan.

Utusan Malaysia dan rombongan dari syarikat jualan langsung terkemuka, CNI Enterprise (M) Sdn. Bhd. bertemu Embun di Asrama Anak-Anak Yatim/Miskin Yayasan Hikmah baru-baru.

Dalam usia ini 91 tahun beliau kelihatan ceria biarpun hanya duduk di kerusi roda dan kurang jelas pendengarannya. Embun cukup sabar melayan kerenah anak-anak yatim yang sudah dianggap seperti cucu dan cicitnya sendiri.

Beliau yang mesra dipanggil `opah' oleh kanak-kanak di situ masih lagi kelihatan masih sihat dan tidak kedekut dengan senyuman biarpun pertama kali berjumpa dengan kami.

Oleh kerana menghadapi masalah komunikasi akibat kurang pendengaran, Embun membiarkan kami dilayan oleh menantu lelakinya, Ismail Din, 59, yang juga selaku Pentadbir di asrama anak yatim itu.

Hadir sama ialah isteri Ismail iaitu Dahlia, 53, yang juga anak kesembilan Embun selaku Setiausaha Kerja di situ.

Pasangan suami isteri ini sudah lama berhenti kerja semata-mata mahu menjadi sukarelawan sepenuh masa di asrama anak yatim itu.

Menurut Ismail, asrama anak yatim berusia 15 tahun itu mempunyai 47 penghuni terdiri daripada anak-anak yatim dan fakir miskin dari seluruh negara.

“Kategori penghuni di sini ialah anak-anak yatim yang kematian ibu atau ayah atau kedua-dua orang tua mereka, golongan fakir miskin termasuk anak yang ibu bapanya bercerai, mangsa dera dan cabul yang dihantar oleh mahkamah.

“Anak-anak yatim di sini dipastikan menerima pendidikan formal di sekolah selain pendidikan agama, malah mereka yang cemerlang akan dihantar melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti Syria, manakala yang lemah dimasukkan ke Pusat Giat Mara untuk belajar kemahiran,'' katanya.

Ditanya apakah cabaran dihadapi semasa menjaga kanak-kanak ini, Ismail memberitahu, masalah utama ialah kewangan disebabkan kos pentadbiran yang tinggi setiap bulan.

Menurut Ismail, setiap bulan, mereka memerlukan peruntukan sebanyak RM12,000 untuk menyelenggara asrama anak yatim ini merangkumi perbelanjaan bagi bayaran air dan elektrik, membeli makanan, peralatan pejabat, kenderaan, mesin serta membayar gaji pekerja.

Selain bantuan kewangan, Ismail juga mengalu-alukan tenaga pengajar sukarela datang memberi tuisyen kepada anak-anak yatim di situ terutama pada sebelah malam.

Berbanding rumah anak-anak yatim lain di negara ini, keadaan Asrama Anak-Anak Yatim/Miskin Yayasan Hikmah amat menyedihkan dengan bangunan masih diperbuat daripada kayu, malah kanak-kanak dihantar ke sekolah menggunakan sebuah van buruk berusia 16 tahun.

No comments: