Tuesday, October 31, 2006

Permata Hati: Tabah bela tiga anak istimewa

Berita Harian, 31 oktober 2006


Hajat pasangan suami isteri Mohamad, Sabariah mempunyai anak lelaki tercapai meskipun ketiga-tiganya sindrom down

CABARAN membesarkan tiga anak istimewa, sekali gus dalam situasi kehidupan yang kurang berkemampuan bukan suatu yang mudah untuk dilalui tanpa semangat dan kasih sayang tinggi dalam jiwa ibu bapa. Lebih mencabar lagi apabila tinggal di persekitaran masyarakat yang agak kurang pengetahuan mengenai anak istimewa sehingga sukar menerima si kecil sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat dan perlu dilayan dengan baik.

Bagi pasangan suami isteri, Mohamad Nawi dan Sabariah Taib dari Sungai Lembing, Kuantan, cabaran yang mereka hadapi sama ada kesempitan wang atau pandangan sinis masyarakat, tidak pernah dijadikan halangan untuk membesarkan tiga anak yang menghidap sindrom down.

Pasangan itu mempunyai lima cahaya mata, tetapi tiga daripadanya iaitu anak ketiga hingga bongsu menghidap sindrom down. Lebih malang, ketiga-tiganya adalah anak lelaki iaitu Jefri Mazli, Jefri Mazwan dan Jefri Muharizuan. Mohamad dan Sabariah tetap reda dengan anugerah Allah itu walaupun harapan mereka untuk menimang cahaya mata lelaki yang normal tidak kesampaian.

Dengan hanya berpendapatan RM600 sebulan berkerja sebagai buruh ladang kelapa sawit, Mohamad tetap memperuntukkan sebahagian daripada pendapatannya untuk memberi keperluan kesihatan anak istimewanya itu seperti susu berkalsium dan pil vitamin tambahan.

Sabariah yang tidak dapat berkerja kerana perlu menguruskan anak itu, meluangkan masa di rumah setiap hari dengan mengajar mereka berdikari dalam menguruskan diri sendiri. Hasilnya, anak berkenaan sudah pandai ke tandas untuk mandi atau membuang air, memakai pakaian, dan berkomunikasi memaklumkan sesuatu seperti lapar atau sakit, pada usia tujuh tahun.

Sabariah berkata, membesarkan anak itu daripada bayi sehingga berusia lingkungan enam tahun lebih mudah, berbanding membesarkan dua anaknya yang normal dalam tempoh itu kerana anak istimewa itu jarang menangis atau sakit seperti demam, selesema dan sebagainya.

"Jika saya tidak menjemur kain lampin di ampaian, jiran pun tidak tahu saya baru melahirkan anak kerana tidak pernah mendengar tangisan bayi, kalau ada pun dalam suara perlahan saja. Satu lagi keistimewaan adalah selepas mereka dewasa, berkawan tiga beradik yang mana mereka seperti memahami antara satu sama lain tanpa kerap sangat bergaduh cuma sesekali saja merajuk.

"Bila mereka sudah terlalu lama bermain sesuatu dan mula meragam, saya berikan mereka menonton televisyen kerana mereka tekun menonton untuk tempoh lama sambil berkomunikasi sesama mereka berkaitan apa yang dipapar di televisyen itu. Berbanding anak yang normal, pada zaman kanak-kanak agak kerap bergaduh, menangis merebut barang permainan dan ada kalanya susah untuk makan," katanya.

Walaupun tidak terlalu merasakan kekurangan pada tiga anaknya itu, pada masyarakat sekeliling ia sebaliknya sehingga memaksa mereka berpindah beberapa kali kerana ada jiran yang tidak senang dengan kehadiran si kecil.

Memandangkan mereka tinggal di persekitaran ladang (estet) dalam kelompok masyarakat yang agak cetek pengetahuan kerana hanya bekerja sebagai buruh, ada jiran yang menghina anak mereka. Ini menyebabkan Sabariah terpaksa mengehadkan kegiatan mereka dalam persekitaran rumah saja bagi mengelakkan si kecil dicederakan oleh budak nakal atau timbul rasa tidak senang di kalangan jiran yang beranggapan anak itu berbahaya kepada orang lain.

Mohamad berkata, beliau mengambil keputusan untuk berpindah beberapa kali dari estet ke estet lain bagi mengelakkan pembesaran mental tiga anaknya itu terjejas akibat tekanan masyarakat sekeliling.

"Pada masa sama, layanan buruk masyarakat sekeliling itu turut memberi tekanan kepada dua kakak mereka yang normal kerana mereka berdua yang membantu ibu menguruskan adik setiap hari walaupun ada kala terdengar pelbagai cemuhan jiran.

"Dari semasa ke semasa, tiga anak ini semakin dewasa dan dalam tempoh itu juga saya makin merasakan kegembiraan memiliki mereka walaupun masyarakat beranggapan memiliki lebih ramai anak istimewa lebih menyusahkan. Tetapi bagi saya adalah lebih seronok dan lebih memudahkan,” katanya.

Bagaimanapun, Sabariah mengakui berasa agak terkilan kerana tidak dapat memberi mereka pendidikan seperti kebanyakan anak istimewa lain yang dihantar ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) kerana tinggal jauh di luar bandar yang tiada kemudahan seumpama itu.



PROFIL:
Nama: Sabariah Taib
Umur: 46
Suami: Mohamad Nawi (48)
Asal: Kampung Nadak, Sungai Lembing Kuantan
Anak: Normaliza (20), Normazuana (19) Jefri Mazli (17), Jefri Mazwan (14) dan Jefri Muharizuan (12)

1 comment:

Azma said...

salam..saya pun punya anak sindrom down. saya paste cerita ni di blog saya ye..terima kasih..