Tuesday, October 03, 2006

Kecekalan hati Hamidah

Utusan Malaysia, 3 oktober 2006

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

HAMIDAH HASSAN bahagia di samping suami tercinta, Muhammad Zainurin.

NABI Muhammad s.a.w. ada menjelaskan bahawa permulaan Ramadan adalah rahmat, pertengahannya pengampunan manakala akhir Ramadan merupakan pelepasan daripada seksa neraka.

Bulan inilah yang sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam kerana pada bulan ini tersembunyi segala rahsia dan rahmat.

Bagi pasangan suami isteri Hamidah Hassan, 31 dan Muhammad Zainurin Mazlan, 36, kehadiran Ramadan merupakan bulan yang cukup bermakna untuk mereka mendekatkan diri kepada Tuhan.

Pada tahun ini mereka akan menjalankan ibadat puasa pertama sejak bergelar suami isteri selepas kehadiran orang baru dalam hidup mereka pada September lepas, iaitu seorang bayi perempuan.

Namun mereka akur dengan kehendak Tuhan. Bayi mereka yang tidak cukup bulan itu terpaksa menjalani rawatan kira-kira tiga bulan sehingga sihat.

Walaupun begitu, Hamidah dan Muhammad Zainurin menganggap kehadiran bayi mereka, Hanina Fasha Ha Muhammad Zainurin, sebagai rahmat dan penyeri hidup mereka.

Walaupun terpaksa berulang-alik setiap hari ke hospital, ibadat wajib tetap dijalankan.

Ramadan memberi ruang kepada mereka untuk memohon kepada Allah agar anak kesayangan mereka segera sihat.

Ketika sesi temu bual diadakan pada petang 1 Ramadan lalu di Kafe Delifrance, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, Hamidah dan Muhammad Zainurrin tetap kelihatan ceria. Penulis tidak berkesempatan bertemu dan mengambil gambar Hanina memandangkan hanya ibu bapa bayi dibenarkan melawatnya di wad tersebut.

Ujian Tuhan

Bagi Hamidah, dugaan ini hanya ujian kecil daripada Tuhan. Apa yang menyusuri kehidupannya sebelum ini ada yang lebih perit.

Apatah lagi dirinya boleh diibaratkan tidak ada harapan untuk berjaya. Namun, berkat kesabaran, ketabahan serta sokongan keluarga dan kawan, Hamidah berjaya membuktikan bahawa orang kurang upaya juga mampu mengecapi kecemerlangan hidup.

Bercerita tentang perjalanan kehidupannya, ternyata Hamidah seorang wanita yang cukup bersemangat dan dia tahu langit tidak selalunya cerah.

Hamidah mula menerima dugaan kira-kira 13 tahun lalu.

Dia disahkan menghidap sakit tulang belakang dan terpaksa menjalani pembedahan.

“Pada masa itu saya berada di tingkatan enam bawah dan saya terpaksa meninggalkan pelajaran selama lapan bulan.

“Selepas saya sihat, saya meneruskan pelajaran tingkatan enam atas dan akhirnya saya berjaya diterima masuk belajar di Universiti Malaya,’’ katanya.

Ternyata penderitaan yang ditanggung Hamidah tidak berhenti setakat itu sahaja. Dia terpaksa menjalani pembedahan yang kedua ketika berada dalam pengajian tahun kedua.

Situasi kali ini amat berbeza. Selepas sepuluh hari pembedahan, Hamidah hilang keupayaan untuk berjalan.

“Pada masa itu Tuhan sahaja tahu perasaan saya, saya rasa hilang segala-galanya. Bermacam-macam perkara timbul dalam fikiran saya,’’ ujarnya dalam nada sedih.

Dalam pada itu, Hamidah terus menjalani rawatan pemulihan dan ketika itulah Hamidah bertekad untuk belajar berdikari.

“Semasa menjalani rawatan di hospital, saya belajar bergerak menggunakan kerusi roda dan mendapat ramai kenalan. Dengan adanya kawan-kawan, saya berkongsi cerita dan menjalani sesi kaunseling,’’ katanya.

Akhirnya Hamidah sedar bahawa kehidupannya tidak terhenti dan dia perlu meneruskan hidup walaupun tidak mampu berjalan.

Hamidah terpaksa menangguhkan pengajiannya selama setahun dan dia meneruskan rawatan di kampung halamannya di Sabah.

“Saya berazam menyambung pelajaran saya walaupun keluarga membantah kerana keadaan saya yang tidak mengizinkan.

“Tetapi saya yakin Tuhan masih sayangkan saya dan tentu ada jalan yang telah ditentukan untuk memudahkan saya melakukan urusan harian,’’ jelasnya.

Dengan menggunakan kerusi roda, Hamidah akhirnya melalui kehidupan sebagai pelajar kampus dalam keadaan serba kekurangan.

Berpegang kepada prinsip di mana dia memulakan sesuatu di situ dia perlu mengakhirkannya, Hamidah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pentadbiran Sosial pada tahun 1999.

Selepas menamatkan pengajian, Hamidah mula berhadapan dengan realiti masyarakat. Dia menghadapi rintangan lebih besar.

“Sejak dari sekolah lagi, saya memang seorang yang aktif, dan saya mengambil keputusan mencari pekerjaan sementara di Sabah sehinggalah hari konvokesyen saya diadakan.

“Rupa-rupanya masyarakat kita lebih mengutamakan keupayaan fizikal daripada kelayakan,’’ keluhnya.

Hamidah menceritakan pengalamannya dihalau oleh pemilik kedai apabila dia memohon kerja. Permohonannya ditolak kerana dia seorang Orang Kurang Upaya (OKU).

Pada satu majlis penyampaian hadiah pertandingan menulis esei di Sabah yang tempat kedua dimenanginya, Hamidah melahirkan rasa kekesalan terhadap layanan masyarakat terhadap OKU.

“Tajuk esei saya menyentuh tentang OKU. Pada majlis tersebut saya berpeluang membaca sajak yang saya cipta sendiri di khalayak ramai.

“Kerana sajak itulah media di Sabah mula menimbulkan isu OKU dan mereka mula mencari saya untuk menemu bual kenapa saya meluahkan rasa kecewa saya.

“Saya juga berjaya mendapat pekerjaan selepas berita tersebut keluar dalam surat khabar,’’ katanya.

Sekembalinya Hamidah ke Semenanjung Malaysia, dia mula bergiat aktif dengan persatuan OKU. Hamidah juga aktif dalam sukan tenis berkerusi roda.

Pada tahun 2001, Hamidah berjaya diterima sebagai salah seorang Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui permohonan Skim Perkhidmatan Awam yang dipohonnya selepas menamatkan pelajaran.

Kini Hamidah memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM di Kuala Lumpur.

Menyingkap kisah cinta mereka, Hamidah dan Muhammad Zainurin berkenalan ketika sama-sama menghadiri satu kursus kerja.

Siapa sangka jejaka sempurna itu tertarik dengan kejernihan hati Hamidah.

“Selepas kursus, saya mula menghubungi Hamidah dan usaha saya mendapat tindak balas positif daripadanya.

“Sejak itu persahabatan kami menjadi semakin rapat dan saya merasakan kehadiran Hamidah amat bermakna buat diri saya, lantas saya mengambil keputusan untuk meluahkan hasrat hati menjadikan dia isteri.

“Pada 16 Disember 2005, kami telah selamat diijabkabulkan,’’ kata Muhammad Zainurin sambil tersenyum memandang Hamidah.

Muhammad Zainurin memberitahu, selagi kita hidup, kita perlu memilih jalan bahagia. Dia yakin kebahagiaan dirinya adalah ketika bersama Hamidah.

“Kepada mereka yang memilih untuk berkahwin dengan OKU, mereka perlu kuat dari segi mental dan fizikal.

“Kita perlu melihat OKU adalah sama dengan kita kerana jika kita melihat mereka sebagai OKU, pasti akan ada jurang wujud,’’ katanya.

Pasangan ini berdoa anak mereka, Hanina, akan cepat sembuh dan boleh dibawa pulang ke rumah.

No comments: