Monday, October 23, 2006

10 tahun beraya atas katil

Berita Harian, 23 oktober 2006


Nor Azman lumpuh selepas hidap sakit saraf tunjang sejak penghujung 1994

ALOR GAJAH: "Sudah 10 tahun saya menyambut Aidilfitri atas katil kerana lumpuh selepas menghidap sakit saraf tunjang. Malah, bukan sekadar 10 tahun tetapi saya perlu meraikan hari raya secara berbaring selagi hayat dikandung badan," kata Nor Azman Zainudin, dari Kampung Taboh Naning, dekat sini.

Sejak kecil sehingga penghujung 1994, beliau seorang yang sihat dan cergas serta pernah berkhidmat sebagai anggota sukarelawan dan juru latih askar wataniah Rejimen 510 di Muar Johor pada 1981 hingga 1988.

Selepas itu beliau yang kini berusia 43 tahun kembali ke kampung halaman dan aktif dalam aktiviti Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) di semua peringkat.

"Pada penghujung 1994, kesihatan mula tidak berapa baik kerana anggota badan mula lemah dan membuat pemeriksaan di sebuah klinik swasta di Kuala Lumpur.

"Doktor mengarahkan saya ke Hospital Tawakal dan doktor pakar mengesahkan saraf tunjang saya bocor dan perlu pembedahan segera dengan kos RM50,000," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Selepas habis tempoh tiga tahun, tiada perubahan dan beliau reda dengan ketentuan Ilahi bahawa beliau lumpuh dari paras pinggang hingga hujung kaki.

“Sudah 10 tahun menyambut lebaran atas katil ini dan tahun ini adalah tahun ke-11. Apalah ertinya Aidilfitri pada saya tetapi tetap menyambutnya secara sederhana bersama isteri Saadiah Mahadi, 46, serta enam anak," katanya.

Tiga anaknya, Mohd Nor Azzaidi, 24; Mohd Annur Hanafi, 23; dan Mohd Nor, 20, bekerja di syarikat swasta, manakala tiga lagi masih bersekolah iaitu Mohd Nor Safuan, 16; Mohd Nor Hafizul Arif, 13; serta Norasyikin, 11, masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Naning, SMK Datuk Dol Said dan Sekolah Rendah Kebangsaan Cherana Putih.

Katanya, namanya sudah didaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi pihak berkenaan memaklumkan tidak layak menerima bantuan bulanan berikutan tiga anaknya termasuk isterinya mempunyai pekerjaan.

"Saya memohon JKM memberi bantuan kewangan bulanan bagi meringankan beban menampung perbelanjaan keperluan keluarga dan diri sendiri selagi ada umur.

"Isteri pula bekerja di kedai makanan yang menerima bayaran gaji harian, manakala anak juga perlu memerlukan wang untuk keperluan sendiri," katanya.

Nor Azman berkata, selepas dibedah, doktor memaklumkan jika dalam tempoh tiga tahun kesihatannya tidak normal, beliau akan lumpuh sampai bila-bila.

No comments: