Thursday, August 31, 2006

Pengangkutan awam mesti ambil kira keperluan OKU

Berita Harian, 31 ogos 2006

KUALA LUMPUR: Pihak yang bertanggungjawab menaik taraf sistem pengangkutan awam harus memberi perhatian keperluan bebas halangan dan mesra insan terutama untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kebanyakan sistem pengangkutan awam sedia ada tidak mesra OKU dan warga emas

"Masanya sudah tiba untuk semua pihak menentukan sistem pengangkutan awam menyediakan pelbagai kemudahan bebas halangan dan mesra OKU serta warga emas seperti eskalator, lif, 'ramp' dan lantai 'tactile'.

"Bagi bas Rapid KL dan bas ekspres, kemudahan lantai rendah, 'ramp', lif hidrolik dan galang pemegang harus disediakan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin mengenai rancangan menaik taraf sistem pengangkutan awam di Lembah Klang membabitkan peruntukan RM10 bilion.

Shahrizat berkata, masalah pengangkutan memberi kesan besar kepada OKU dan warga emas kerana mempengaruhi mobiliti serta gaya hidup mereka termasuk bekerja, membeli-belah dan melancong.

"Semua ini perkara yang kita ambil mudah tetapi sangat bermakna bagi OKU dan warga emas," katanya.

Shahrizat berkata, berdasarkan perangkaan, 70,000 OKU dan warga emas antara 438,000 yang menggunakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), KTM Komuter dan monorel setiap hari di Lembah Klang.

Katanya, jika perkiraan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) digunakan iaitu 10 peratus penduduk adalah OKU, jumlah golongan itu di negara ini ialah 2.4 juta

"Anggaran ini menggambarkan betapa mustahaknya sistem pengangkutan awam memenuhi keperluan OKU," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

Amiable post and this post helped me alot in my college assignement. Thank you for your information.