Tuesday, August 22, 2006

Bob Lokman mahu buka restoran Bob Coffee

Utusan Malaysia, 22 ogos 2006

Oleh: MUZLINA ABU BAKAR

MENJENGUK ke rumah dua tingkat yang didiami Bob Lokman, 42, bersama isteri dan tiga orang anaknya, tampak pencipta lirik yang cukup terkenal dengan lagu Taman Rashidah Utama dan Isabella itu penyayang orangnya.

Beliau yang dipanggil ayah oleh anak-anaknya - Mohammad Adam, 13, Omar Hakim, 12, dan Ahmad Suffian, 11, begitu lembut bila bercakap dengan anak-anak begitu juga dengan isterinya, Relawati Daud, 28 tahun yang baru dinikahi dua tahun lalu.

Dua jam setengah bersama Bob Lokman dan keluarganya di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor, memang terserlah sikap kebapaannya yang menebal yang penuh dengan kasih sayang. Memang tidak terdengar walau sepatah pun perkataan yang kasar terucap dari bibirnya berbanding ketika dia menjadi pengkritik undangan pada Konsert AF4 tidak lama dulu.

Malah ketika kami tiba di rumahnya tepat pukul 4 petang, walaupun Bob kelihatan penat kerana baru balik menghantar anaknya Mohammad Adam untuk pemeriksaan bulanan kerana pernah mengidap ketumbuhan otak ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, dia tetap mesra dan suka berlawak.

Mohammad Adam yang dipanggil Along mengidap penyakit itu ketika usianya lapan tahun dan setiap tiga bulan sekali mesti dibawa untuk pemeriksaan lanjut.

“Alhamdulillah keadaan Along dah semakin baik. Masa mula-mula dia sakit setahun dia di wad. Tetapi kini setiap tiga bulan saya mesti hantarnya ke unit neurologi PPUM untuk pemeriksaan lanjut. Dalam keadaannya begitu saya bersyukur kerana sewaktu Ujian Penilaian Sekolah Rendah dia mendapat 5 A.

“Along dapat sekolah asrama Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor tapi selepas seminggu lebih dia minta keluar... mungkin hidup di asrama tidak sesuai. Saya tidak menghalang keputusannya tetapi saya rasa tindakannya itu betul sebab apabila tinggal di sini mudah untuk kami memantaunya kerana dia mesti ke hospital setiap tiga bulan,” cerita Bob tentang anak sulongnya itu.

Walaupun kehidupan hariannya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seni dan sosial, Bob Lokman tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ayah.

Bukan itu sahaja, malah penulis lirik yang terkenal dengan mulut lasernya itu dalam diam-diam masih menyimpan impiannya untuk memiliki sebuah restoran ala-ala Coffee Bean apabila menjelang usianya 45 tahun.

Dengan produk kopi jenamanya Bob Coffee yang diusahakan pada Januari 2004 dengan modal permulaan RM60,000, Bob berharap impiannya itu akan menjadi realiti.

“Bukan mudah mahu membuka sebuah restoran seperti itu. Bayangkan dengan modal permulaan saya sebanyak itu untuk menghasilkan produk dan promosi memang tidak cukup.

“Jadi buat masa ini saya terpaksa menghentikan mempromosikan Bob Coffee sebaliknya hanya membekalkan kepada tiga pembekal aktif setiap bulan.

“Insya-Allah bila modal saya cukup saya akan menyambungnya semula sehingga lahir Restoran Bob Coffee,” kata Bob dengan penuh semangat.

Bob Coffee yang dihasilkan di sebuah kilang di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur memerlukan modal yang tinggi kerana sebelum ini setiap kali promosi untuk memberi minuman percuma sebagai pengenalan, Bob terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM12,000 sebulan.

Menurut Bob Lokman, walaupun kini perniagaan Bob Coffeenya terpaksa dihentikan seketika tetapi dia tidak akan berhenti berusaha.

“Saya ada masa tiga tahun lagi dan mudah-mudahan menjelang usia saya 45 tahun akan lahirkan Restoran Bob Coffee,” kata Bob sambil tersenyum mesra memandang isteri, Relawati yang mengandung lapan bulan.

*Kecewa dengan industri muzik

Mungkin ramai yang tidak tahu kenapa Bob Lokman suka lepas cakap atau laser, bukan sahaja dengan kawan-kawan malah ketika mengkritik para pelajar AF4.

Kata Bob: “Kalau teguran saya dianggap laser saya terima tapi bukankah saya diundang untuk menegur mereka (AF4)? Saya tidak ada niat nak menyakitkan hati sesiapa, teguran saya ikhlas dan jika perkataannya kasar itu memang biasa bagi saya.

“Tetapi saya bukan laser dengan mereka malah di kalangan kawan-kawan pun kadangkala saya laser juga kerana saya sebenarnya kecewa dengan senario industri muzik tanah air.

“Bayangkan setelah berpuluh tahun saya ceburi bidang penulisan lirik dan bertahun-tahun juga kerajaan cuba menghapuskan cetak rompak tapi hasilnya macam mana? Pi mai pi mai tang tu juga! Tidak ada perubahan, yang kenyang jerung-jerung yang bertopengkan manusia! Baik di depan jahat di belakang kita.”

Menurut Bob Lokman, walaupun kecewa dengan senario itu beliau masih terus menghasilkan lirik lagu jika ada yang minta.

“Dah memang itu minat kita, kalau tak buat gian pulak rasanya. Cuma saya berharap suatu hari nanti jerung-jerung itu dapat dihapuskan,” kata Bob Lokman penuh harapan.

*Kahwin setelah 8 tahun menduda

Tatkala menceritakan mengenai perkahwinan dan isteri barunya, Relawati Daud, Bob berkata sememangnya beliau tidak pernah menyangka gadis yang dikenali di sebuah agensi pelancongan akhirnya menjadi isterinya.

“Saya kenal Lela (Relawati) pada tahun 2000 ketika saya bekerja separuh masa di situ. Tetapi apabila saya berhenti kami tidak pernah berhubung.

“Tapi... kuasa Tuhan tidak ada siapa boleh menghalang siapa sangka setelah tiga tahun tak berjumpa tiba-tiba Lela telefon saya. Saya terus melahirkan hasrat untuk mengambilnya menjadi isteri.

“Alhamdulillah hasrat saya untuk menamatkan zaman duda saya ketika berumur 40 tahun iaitu setelah 8 tahun menduda, akhirnya menjadi nyata dan kami akhirnya bernikah pada 11 Disember 2004.

“Kini kami menantikan kelahiran anak kami yang dijangkakan pada awal Oktober,” kata Bob Lokman.

*Jadi duta Sukan OKU

Selain meminati bidang seni, Bob Lokman juga suka melakukan kerja-kerja sosial. Dan kerana itu beliau tidak menolak apabila Kementerian Belia dan Sukan melantiknya sebagai ‘duta’.

Dengan tugas itu, Bob mengelilingi Malaysia untuk mendapatkan 3 juta tandatangan rakyat Malaysia bagi menyokong sukan untuk Orang Kurang Upaya yang akan berlangsung pada 25 November hingga 1 Disember ini.

Sejak dilantik dua bulan lalu, Bob telah ke Labuan, Sabah, Kuching, Sarawak, Pulau Pinang dan Ipoh.

“Seronok rasanya saya dapat menyumbang bakti kepada mereka yang kurang upaya. Sebagai orang seni kita jangan terlalu fikirkan duit dan glamor sahaja, sesekali cuba turun padang melakukan kerja sosial untuk mereka yang memerlukan,” kata Bob Lokman.

No comments: