Thursday, August 10, 2006

JKM wujudkan PDK di Felda, pedalaman

Berita Harian 10 ogos 2006

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan mewujudkan program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di kawasan Felda dan pedalaman bagi membantu golongan tidak bernasib baik.


Pengarah JKM negeri, Adnan Abu Bakar, berkata program itu penting kerana masih ramai tidak mengetahui fungsi PDK serta jabatan sehingga mengabaikan kepentingan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, keadaan itu menyebabkan keluarga yang mempunyai anak sindrom down tidak berdaftar dan membiarkan anak mereka di rumah sehingga golongan OKU tidak mampu berdikari.

Beliau berkata, kebanyakan keluarga terbabit memberikan alasan malu dan mengalami masalah kewangan untuk menempatkan anak mereka di pusat jagaan yang sepatutnya sehingga anak mereka tidak mendapat pendidikan sewajarnya.

"Ibu bapa sepatutnya lebih prihatin dengan tekanan yang dihadapi golongan itu dan mementingkan pendidikan mereka supaya tidak ketinggalan walaupun tidak memiliki keupayaan seperti manusia normal.

"Jika golongan itu ditempatkan di pusat jagaan berkenaan atau didaftarkan di JKM, sekurang-kurangnya mereka mendapat layanan terbaik dan menyertai aktiviti sesuai dengan perkembangan fizikal serta mental mereka," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Adnan berkata, jabatan berusaha mengatasi masalah itu dan mendaftarkan kanak-kanak OKU terutama di kawasan pedalaman.

No comments: