Tuesday, August 15, 2006

Pelajar spastik dapat Pingat Emas Canselor

Berita Harian, 15 ogos 2006

GEORGETOWN: Seorang graduan Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengalami penyakit cerebral palsy (spastik), memecah rekod universiti itu apabila muncul pelajar kurang upaya pertama menerima Pingat Emas Canselor.


Tan Chin Chin, 24, yang mengalami kecacatan otak sehingga gagal mengawal pertuturan dan pergerakan fizikal sejak lahir, memperoleh pencapaian akademik cemerlang dalam bidang sains kemasyarakatan.

Beliau menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian), akan menerima pingat itu daripada Raja Permaisuri Agung, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid yang juga Canselor USM pada majlis Konvokesyen ke-35 USM, esok.

Tiga lagi pelajar terbaik yang turut menerima pingat ialah Ling Yoke Li yang meraih Pingat Emas Canselor dan Anugerah Pelajaran Diraja kategori Bukan Bumiputera.

Nawal Radhiah Abdul Rahman (Anugerah Pelajaran Diraja-Bumiputera) dan Fakhrul Razi Sunip (Pingat Emas Naib canselor).

Mereka adalah antara 1,126 graduan ijazah lanjutan dan 6,228 ijazah pertama yang akan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen yang akan berlangsung selama lima hari, mulai esok.

Tan, anak seorang buruh, berkata kejayaan itu merealisasikan cita-citanya untuk membantu memberi pendidikan kepada golongan senasibnya.

Beliau yang kini bertugas sebagai tenaga pengajar di Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy (Spastik) Pulau Pinang, mengucapkan terima kasih kepada rakan sekuliah, pensyarah dan ibu bapa yang banyak membantu kerana kekurangan dirinya.

“Saya berterima kasih kepada mereka terutama rakan di asrama yang membantu menghantar saya ke kuliah setiap hari, selain meminjamkan nota kerana saya sukar menyalin nota dengan cepat di dalam kelas,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik yang bercita-cita melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana berkata, semangat ibunya yang berjaya pulih daripada sakit kronik turut memberi perangsang kepadanya.

Bagi Nawal Radhiah Abdul Rahman, 24, pesanan bapanya, seorang pesara guru bahawa tiada harta yang ditinggalkan kecuali pelajaran, memberi ingatan kepadanya untuk sentiasa menumpukan pelajarannya.

Beliau bakal bergelar doktor gigi dan akan bertugas di Klinik Pergigian Kulim, esok.

“Bapa saya berpendapatan sederhana dan ibu saya tidak bekerja. Oleh itu, mereka sentiasa mengingatkan kami tujuh beradik supaya berusaha dalam pelajaran bagi mengubah nasib kami sekeluarga,” katanya.

Ling, 25, yang akan bertugas sebagai doktor gigi di Hospital Seremban, bulan depan, berkata kejayaannya hasil galakan lima adik beradiknya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Penolong Pengarah Biro Tata Negara di Jabatan Perdana Menteri, Fakhrul Razi, berkata berkat usaha dan aktif dalam pelbagai kegiatan di kampus dan luar kampus membantunya mendapat kerja selepas tamat pengajian.

No comments: