Thursday, August 24, 2006

Kurang guru khas

harian Metro, 24 ogos 2006

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Kekurangan guru pendidikan khas menjadi cabaran utama kepada beberapa pusat sindrom down yang beroperasi di negeri ini bagi mengenal pasti dan membantu kanak-kanak terbabit melangkah ke alam persekolahan serta mengikuti pembelajaran dengan lebih lancar.



Masalah kekurangan guru dalam jurusan pendidikan khas menyebabkan sesetengah pusat down sindrom yang dibuka pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sanggup menganjurkan kursus dan memberi latihan untuk melahirkan lebih ramai individu berkemahiran bagi mengendalikan program pendidikan khas di sesebuah pusat.

Walaupun penganjuran kursus membabitkan kos tertentu, langkah itu terpaksa dilakukan demi masa depan pesakit down sindrom yang terdiri daripada bayi hingga kanak-kanak berusia enam tahun.

Naib Presiden Yayasan Sindrom Down Kiwanis (KDSF), Terence S C Tong, berkata pihaknya memerlukan antara RM180,000 hingga RM200,000 setiap tahun untuk mengendalikan pusat sindrom down dan perbelanjaan itu diusahakan sendiri menerusi sumbangan dan derma.

Beliau berkata, kos berkenaan termasuk penganjuran latihan kepada beberapa individu yang berminat berkhidmat sebagai kakitangan di pusat itu.

Katanya, yayasan berkenaan mempunyai tujuh pusat sindrom down di seluruh negara iaitu di Melaka, Seremban, Klang, Kota Kinabalu, Petaling Jaya, Ipoh dan di bandar raya ini.

“Misalnya di Johor Bahru, kami mempunyai lima kakitangan yang mengendalikan kelas pembelajaran kanak-kanak down sindrom berkenaan.

“Peranan seseorang kakitangan yang berkemahiran penting bagi memastikan kanak-kanak istimewa terbabit lebih mudah mengikuti kelas pembelajaran mahupun pelbagai program diadakan.

“Justeru, kami menggalakkan lebih ramai penduduk yang mengisi keperluan di pusat seumpama ini, “ katanya pada sidang akhbar selepas tayangan amal filem Garfield 2 di pusat beli-belah Citi Square, di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Pembangunan Masyarakat, Dr Robia Kosai.

No comments: