Edisi Utara: OKU dapat elektrik
Oleh Rosman Shamsudin
SUNGKAI: Penderitaan Orang Kurang Upaya (OKU), Hasanudin Abdul Malek, 39, dan keluarganya di Kampung Perlok Lama, di sini, yang hidup tanpa bekalan elektrik sejak 10 tahun lalu berakhir selepas mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Datuk KRA Naidu, semalam.
Selama ini, Hasanudin dan isterinya, Nurizan Buyung, 42, terpaksa membesarkan lima anak mereka, Nurul Ain, 14; Mohd Nur Hafiz, 12; Nurul Aina, 10; Nurul Aini, 9, dan Mohd Lokman Nur Hakim, 7, menggunakan pelita minyak untuk menerangi rumah mereka.
Pendapatan kira-kira RM200 sebulan hasil jualan sayur-sayuran kampung dan menoreh getah menyebabkannya tidak mampu mendapatkan bekalan berkenaan.
Walaupun hidup dalam kegelapan, namun anak sulungnya, Nurul Ain, bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Perlok berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan memperoleh 5A dan kini belajar di Sekolah Menengah Khas (SMK) Gunung Rapat, Ipoh.
Hasanudin berkata, sebelum ini mereka sekeluarga hidup hanya berteman pelita minyak dan anaknya terpaksa mengulangkaji pelajaran di dalam suasana yang kurang selesa disebabkan kesempitan hidup.
“Pendapatan yang saya dapat setiap hari hanya cukup menampung keperluan hidup seharian saja dan untuk mendapatkan bekalan elektrik memang saya tidak mampu sehingga mendapat perhatian Adun Behrang dan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tanjung Malim,” katanya.
Pendawaian elektrik rumah dibiayai Pemuda Umno bahagian dan sumbangan Adun Behrang pula bagi menyediakan tiga batang tiang elektrik untuk menyalurkan bekalan elektrik ke rumah serta bayaran deposit kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Saya bersyukur kerana penderitaan kami mendapat perhatian daripada kedua-dua pihak dan mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang diberikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Hasanudin berkata, dia kini juga terpaksa berjimat untuk perbelanjaan berulang-alik mendapatkan rawatan anaknya, Mohd Lokman Nur Hakim yang sejak lahir mengalami masalah jantung di Hospital Teluk Intan.
No comments:
Post a Comment