Thursday, August 17, 2006

Yayasan sindrom beli tanah bina pusat baru

Berita harian, 17 ogos 2006

JOHOR BAHRU: Sejak 1991, Yayasan Sindrom Down Kiwanis cawangan Johor Bahru (KDSF JB) beroperasi di Jalan Yahya Awal, di sini, untuk membantu kanak-kanak sindrom down mendapatkan pendidikan sesuai.


Pusat itu yang menyediakan program pendidikan awal untuk kanak-kanak sindrom down dan program rangsangan untuk bayi dan kanak-kanak berusia tiga tahun serta program khas untuk kanak-kanak pra sekolah.

Presiden Kelab Kiwanis Johor Bahru (KCJB), John Tok, berkata di pusat itu, hanya 70 kanak-kanak dapat mengikuti program sedangkan jumlah mereka yang berminat untuk menyertainya semakin bertambah.

Sehubungan itu, katanya, KCJB membeli tanah di No 19, Jalan Resak, Majidee Park, di sini, untuk menambah kemudahan yang sedia ada di pusat KDSF di Jalan Yahya Awal dan ia berupaya menampung program pendidikan bagi 150 kanak-kanak dan bayi.

"Kami memerlukan peruntukan kira-kira RM800,000 untuk membina bangunan seluas 6,000 kaki persegi lengkap dengan perabot, permainan dan peralatan pendidikan.

"Pembinaan sudah dimulakan dan ia dijangka siap Februari tahun depan," katanya pada sidang akhbar makan malam amal di sini, semalam.

Tok berkata, sebagai organisasi bukan kerajaan, kelab itu mengadakan pelbagai aktiviti untuk mengutip derma dan antaranya ialah menganjurkan pertandingan golf amal, menjual baucer makanan dan makan malam amal.

Melalui majlis makan malam yang akan diadakan pada 9 September depan, Tok berkata, kelab menyasarkan kutipan sebanyak RM300,000 untuk menyiapkan pembinaan bangunan baru dengan jualan meja minimum RM2,000.

No comments: