Thursday, August 31, 2006

Suspek mengamuk kerana ibu dikacau

Utusan Malaysia, 31 ogos 2006


Oleh UMAVATHI RAMAYAH

Tindakan seorang lelaki kurang siuman menyerbu masuk sebuah masjid sambil membawa sebilah parang menggemparkan jemaah yang sedang khusyuk mendirikan solat Jumaat ketika itu.

Lelaki itu mengamuk sambil berlegar-legar di dalam kawasan masjid sambil mengacu-acukan parang yang digunakannya untuk menetak seorang lelaki tua di Masjid Batu 12, Sungai Burung, Tanjung Karang, Selangor.

Keadaan yang aman damai sebelum ini bertukar kecoh apabila jemaah lintang pukang lari menyelamatkan diri sambil menjerit meminta tolong.

Sarjan Mahidind Mohd. Isam bergegas ke tempat kejadian setelah diarahkan meninjau kampung tersebut setelah dimaklumkan oleh orang ramai mengenai kejadian itu.

Sebaik sahaja Mahidind tiba di situ, keadaan menjadi bertambah kecoh apabila lelaki yang hanya berseluar pendek itu menyedari kehadirannya dan menerpa ke arah beliau sambil mengacukan parang.

‘‘Orang ramai waktu itu panik seketika kerana mereka sangka saya akan mati ditetak,’’ katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini.

Menurut beliau, keadaan di dalam masjid tersebut bertambah huru-hara apabila lelaki itu menggertak untuk membunuh sesiapa yang cuba menghalang atau memujuknya.

Sambil melakonkan semula aksi lelaki kurang siuman itu, kata beliau, lelaki itu mengacukan parang sambil menjerit: ‘‘Siapa lagi berani usik mak aku, cepat... cepat... datang sini, taulah apa yang akan berlaku.”

Kata Mahidind, lelaki itu mengulangi perkataan yang sama sebanyak empat kali.

Mahidind memberitahu, dia bersama beberapa orang rakan sepasukannya terpaksa mengejar suspek dan meminta dia menyerah diri.

‘‘Dia tidak mahu menyerah diri walaupun dipujuk beberapa kali malah mula bertindak ganas ke atas kami dengan melibas parang yang dibawanya.

‘‘Nasib kami agak baik kerana dapat mengelak libasan parang itu. Kalau tidak mungkin kami sudah terkorban,’’ ujarnya.

Menurut beliau, disebabkan lelaki tersebut semakin mengganas dan kelakuannya tidak dapat dikawal, salah seorang pegawai polis yang bertugas ketika itu terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arahnya.

‘‘Nasib lelaki itu memang baik kerana peluru yang dilepaskan hanya terkena pada kakinya.

‘‘Keadaan di tempat kejadian menjadi sunyi sepi sejurus pegawai polis itu melepaskan tembakan.

‘‘Orang kampung yang berada di tempat kejadian mula mengepung lelaki itu bagi memastikan dia tidak melarikan diri,’’ katanya.

Menurut anak kelahiran Taiping, Perak ini, beliau banyak melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis sepanjang berkhidmat dalam pasukan polis seperti peristiwa 13 Mei 1969 yang terpahat kukuh dalam ingatannya sampai hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau, biarpun terpaksa melalui saat paling memeritkan ketika itu ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat dalam pasukan polis.

Menyingkap zaman persekolahannya, Mahidind memberitahu, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Jelutong, Taiping, Perak dan menyambung pelajaran di Sekolah Menengah King Edward di tempat yang sama.

Selepas menamatkan persekolahan, Mahidind menyertai pasukan polis pada tahun 1969.

Sebaik menamatkan latihan selama tiga bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur beliau kemudian diserap ke Balai Polis Dang Wangi sebagai konstabel sehingga Oktober 1973.

Menurut Mahidind, selepas beberapa tahun berkhidmat di Balai Polis Dang Wangi, beliau ditukarkan ke Balai Polis Tanjung Karang, Selangor dan berkhidmat selama 25 tahun di situ.

‘‘Saya tidak pernah menyesal menyertai pasukan polis walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai pengalaman pahit kerana ia merupakan cita-cita saya.

‘‘Malah saya berbangga kerana dapat menimba pengalaman yang banyak ketika bersama pasukan polis,’’ katanya sambil tersenyum lebar.

Mahidind yang baru bersara mempunyai enam orang cahaya mata berusia antara 12 hingga 29 tahun hasil perkongsian hidup dengan Zainab Alang, 50.

No comments: