Saturday, August 12, 2006

Sindiran bakar semangat

Harian Metro, 12 ogos 2006

Oleh Zaitie Satibi

KUALA LUMPUR: �Kami pernah disindir sebagai ibu bapa yang tidak sedar diri kerana ada hati mahu menyekolahkan anak yang cacat penglihatan di universiti.

�Namun, sindiran itu kami jadikan pembakar semangat dan kini segala umpat keji orang terhapus apabila anak yang kurang sempurna ini mampu menggenggam segulung ijazah,� kata pemandu lori dari Bachok, Kelantan, Mohd Hussin Mat Nor.

Mohd Hussin, 55, berkata walaupun kata nista itu amat pedih, dia sekeluarga tabah menerimanya dan menganggapnya dugaan Ilahi, kerana tidak mahu mensia-siakan tawaran melanjutkan pelajaran di universiti yang diterima anak ketiga daripada empat beradik, Masuni, 23, yang juga satu-satunya berjaya ke menara gading.

�Pada awalnya, ramai yang memandang rendah keupayaan Masuni, kerana dia buta sejak dilahirkan. Bermacam umpatan yang kami dengar, tetapi kami pekakkan telinga dan menerimanya sebagai dugaan.

�Ini kerana, kami yakin dengan kebolehan Masuni. Walaupun buta, hatinya tidak buta malah dia bijak dan sudah menunjukkan kecemerlangan dalam pelajaran sejak sekolah rendah lagi,� katanya yang ditemui selepas majlis Konvokesyen Ke-44 Universiti Malaya (UM) di Dewan Tunku Canselor di sini, semalam.

Menurutnya, dia berharap kejayaan Masuni memperoleh ijazah dalam bidang antropologi dan sosiologi itu dapat menutup mulut mereka yang selama ini pernah melontar nista kepada keluarganya, sekali gus membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga mampu berjaya.

�Tidak kisahlah apa orang mahu kata lagi. Apa yang penting sekarang Masuni sudah buktikan kebolehannya dan dia membanggakan kami sekeluarga.

�Saya turut berharap ibu bapa lain yang punya anak seperti kami, janganlah berputus asa dan beri mereka peluang untuk belajar sehingga ke peringkat tertinggi,� katanya yang datang menyaksikan upacara konvokesyen bersama isteri, Nik Samsiah Abdullah, 53, dan anak bongsu, Nor Bahiyah, 20.

No comments: