Wednesday, August 23, 2006

Merangkak lintas jalan

Harian Metro, 22 ogos 2006

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my

MELAKA: Waris kepada seorang remaja lelaki dipercayai terencat akal diminta menghubungi sebuah keluarga di Jalan Wakaf, Kampung Bertam Ulu, dekat sini, bagi membolehkan remaja terbabit pulang ke pangkuan keluarga.

Remaja yang dipercayai berusia 15 hingga 17 tahun itu ditemui oleh seorang peniaga di Cheng berhampiran Jalan Alor Gajah-Melaka kira-kira jam 8.30 malam, Sabtu lalu ketika sedang merangkak menyeberangi jalan di situ.

Remaja terbabit tidak dikenalpasti keturunan serta latar belakangnya berikutan keadaannya tidak normal dan dia tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Kini remaja berkenaan dijaga oleh peniaga terbabit yang menemuinya, Azmi Hashim, 45, untuk tempoh sementara waktu sehingga pihak berkuasa atau keluarganya menuntut remaja itu.

Menurut Azmi, ketika remaja itu ditemui, dia nyaris maut dilanggar kenderaan ketika cuba melintas jalan dan kelihatan amat lemah seolah-olah tidak mampu bangun serta berjalan seperti biasa.

Dia yang berniaga di kawasan remaja itu ditemui berkata, tidak ada sesiapa mengenali keluarga remaja berkenaan dan bertindak membawa balik ke rumah dengan bantuan anak saudaranya, Mohd Al Hafiz Mohd Amin, 22.

“Ketika itu, keadaannya terlalu comot dan menyebabkan ahli keluarga saya terpaksa mandi serta menukar pakaiannya.

“Walaupun keadaannya tidak normal, dia mesra dengan semua anggota keluarga saya serta boleh mendengar arahan saya, isteri dan anak,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Azmi berkata, remaja ini berbadan kurus dengan ketinggian kira-kira 1.7 meter dan berkulit gelap.

Menurutnya, dia tidak menunjukkan sikap agresif serta terlalu sensitif, malah nampak manja dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

Katanya, dia sudah membuat laporan polis mengenai remaja itu dan Mohd Al Hafiz sudah menghubungi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan mengenainya.

Orang ramai yang mengenali remaja ini supaya menghubunginya di talian 013-6904016.

No comments: