Wednesday, August 23, 2006

Hindar sikap sombong

Harian Metro, 22 ogos 2006

Oleh Mohd Amin Jalil
aminjalil@hmetro.com.my

SEREMBAN: Sikap segelintir masyarakat setempat yang tidak mempedulikan nasib golongan kurang mampu termasuk anak yatim dan anak kurang upaya (OKU) amat kesali kerana mencerminkan kesombongan dan tiada rasa syukur terhadap anugerah Tuhan.

Justeru itu, pemimpin dan semua anggota masyarakat perlu bersikap prihatin terhadap nasib golongan itu dengan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka demi keharmonian dan kesejahteraan bersama.

Menyedari tanggungjawab yang diamanahkan, Yayasan Kebajikan dan Kecergasan Tuanku Ampuan Najihah (YKTAN) akan memberi lebih fokus kepada program kebajikan bagi membantu golongan kurang bernasib baik di negeri ini.

Pengerusinya, Bibi Sharliza Mohd Khalid, berkata program yang sudah dan akan dilaksanakan tidak hanya dalam bentuk bantuan kewangan semata-mata malah menjurus kepada khidmat bakti masyarakat di semua peringkat.

Katanya, setakat ini pihaknya mengadakan program motivasi pelajar membabitkan anak yatim dan anak ibu tunggal yang bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Kami turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk memastikan matlamat dalam menyatukan masyarakat menerusi pelbagai kegiatan sosial, kebajikan dan sukan di negeri ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah Kejohanan Bowling Piala YKTAN di Seremban Parade, di sini, semalam.

Hadiah kepada pemenang kejohanan itu disampaikan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ampuan Najihah Tunku Besar Burhanuddin.

Bibi Sharliza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, berkata masyarakat terutama golongan berada tidak boleh lari daripada tanggung jawab dalam membantu kerajaan membela nasib rakyat.

“Harapan kita supaya lapisan rakyat tidak merasa terpinggir sebaliknya sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya bagi membina masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

No comments: