Tuesday, August 22, 2006

Dua beradik hidap barah neuro fibromotosis dibenar pulang

Utusan Malaysia, 22 ogos 2006

KOTA BHARU 21 Ogos – Dua beradik penghidap barah neuro fibromotosis yang dimasukkan ke Wad Intan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini pada 7 Ogos lalu, dibenarkan pulang setelah keadaannya stabil.

Mohd. Azam Hidayat Mohd. Shukri, 14, dan adiknya, Mohd. Hakim Hakimi, 12, keluar kelmarin setelah 12 hari berada di wad itu untuk menjalani rawatan mata, telinga dan pengimejan daripada Pakar Kanak-Kanak HUSM.

Ibunya, Norma Mahmood, 48, berkata, kedua-dua anaknya itu kini sihat dan tidak lagi mengadu sakit kepala walaupun penyakit yang dihidapi mereka belum sembuh sepenuhnya.

Kata beliau, rawatan susulan untuk Mohd. Azam Hidayat ialah pada 4 September ini bagi pemeriksaan peringkat dalaman anggota badan, diikuti Mohd. Hakim Hakimi pada 6 September untuk rawatan pengimejan ketumbuhan dalam otak.

“Selepas itu, pada 21 September pula Mohd. Hakim Hakimi akan menjalani satu pembedahan kecil bagi membetulkan tulang kakinya yang bengkok sejak dilahirkan.

“Diharapkan dengan pembedahan itu, Mohd. Hakim Hakimi boleh berjalan seperti kanak-kanak normal yang lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pada 7 Ogos lalu, kedua-dua beradik itu dimasukkan ke Wad Intan HUSM setelah mereka mengadu sakit kepala.

Keadaan Mohd. Hakim Hakimi yang serius dan sering mengadu sakit itu memerlukan rawatan segera bagi mengurangkan kesakitan yang ditanggungnya.

Mohd. Azam Hidayat yang mula mengadu sakit kepala terpaksa dibawa bersama untuk memudahkan HUSM membuat pemeriksaan lanjut ke atas mereka.

Norma berkata, Mohd. Hakim Hakimi yang dilahirkan dengan masalah air dalam kepala kini terpaksa akur dengan hakikat bahawa penyakit yang dihidapinya itu semakin merebak sekali gus bakal mengorbankan salah satu pancainderanya.

No comments: