Friday, August 18, 2006

TMM 2007: Belia pekak patut diberi peluang

Berita Harian, 18 ogos 2006

KUALA LUMPUR: Belia pekak wajar diberi peluang untuk membuktikan kebolehan diri di dalam segala bidang sekali gus membantu menaikkan nama negara di mata dunia khususnya dalam mempromosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2007.


Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) DBKL, Mohd Amin Nordin Abd Aziz, berkata potensi kepemimpinan dapat dilihat menerusi penganjuran dan pembabitan mereka menerusi pelbagai program sama ada pada peringkat nasional atau antarabangsa.

Katanya, jika diberi ruang untuk mengembangkan idea serta iltizam mereka, pasti belia kurang upaya ini dapat mencurahkan kebolehan mereka seterusnya mampu berdiri di barisan hadapan seperti insan lain yang normal.

“Saya yakin belia pekak berwawasan dan mempunyai sikap kepemimpinan yang tinggi. Cuma kadang kala mereka tidak diberi peluang menonjolkan keupayaan diri walaupun sebenarnya kekurangan mereka tidak harus dijadikan halangan.

“Kita lihat saja Kem Belia Pekak Asean 2006 ini yang memilih Malaysia sebagai tuan rumah. Selaku penganjur, peserta tempatan memperkenalkan keistimewaan negara ini kepada rakan lain sekali gus membantu meuar-uarkan Tahun Melawat Malaysia 2007.

“Secara tidak langsung, mereka adalah duta kecil kepada kempen promosi ini. Saya pasti berita mengenai kempen ini akan tersebar luas di kalangan komuniti mereka sekembali mereka ke negara asal,” katanya ketika merasmikan penutupan Kem Belia Pekak Asean edisi kedua, di sini, baru-baru ini.

No comments: