Enam orang kurang upaya sertai Persatuan Tunas Puteri
KOTA KINABALU: Kekurangan dari segi fizikal tidak dijadikan halangan bagi enam penghuni Rumah Bukit Harapan di sini, menyarung seragam hijau muda dan biru sebagai tanda diterima menjadi ahli Persatuan Tunas Puteri.
Daripada usia semuda enam tahun hingga 33 tahun, mereka melafazkan ikrar sebagai kumpulan pertama Tunas Puteri dari golongan orang kurang upaya (OKU) di Sabah, semalam.
Angelie Justin, 7, menyatakan iltizam untuk menjadi ahli yang baik seperti diikrarkan walaupun menghadapi masalah sawan.
"Saya gembira kerana diterima walaupun dalam keadaan begini dan saya akan cuba menjadi ahli terbaik," katanya di sini semalam.
Angelie menghidap penyakit `hydrosyphilus' (banyak cecair di otak) sejak dilahirkan, dihantar ke Bukit Harapan oleh keluarganya kerana mereka tidak mempunyai kenderaan untuk menghantarnya ke hospital jika kecemasan.
Turut melafazkan ikrar ialah Chung Li Ken, 6; Juvina Chong, 18; Suzie Yanti Wences, 22; Rusiah Salani, 23, dan Latifah A Latif, 33.
Acara menyemat lencana Tunas Puteri disempurnakan Pesuruhjayanya, Rita Lim.
Ahli Tunas Puteri dari Bukit Harapan itu diperkenalkan dengan kegiatan pergerakan berkenaan sejak enam minggu lalu hasil inisiatif Pesuruhjaya Tunas Puteri Istimewa, Kathy Tsen.
No comments:
Post a Comment