Thursday, August 24, 2006

Atikah tabah

Harian Metro, 24 ogos 2006


Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

ALOR STAR: Seorang wanita sanggup memikul tanggungjawab berat menjaga suami yang menderita penyakit usus besar selain ibu mentua yang lumpuh dan empat anak masih kecil.



Nur Atikah Abdullah, 36, seorang suri rumah, kini terpaksa bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 sebulan serta sumbangan jiran tetangga untuk menyara empat anak, suami, Abdul Razak Bahari, 42, dan ibu mentua, Chik Yop, 72.

Menurut Nur Atikah, suaminya menderita penyakit usus sejak 10 tahun lalu dan pernah dibedah lapan kali.

Katanya, sebelum sakit, suaminya bekerja mengambil upah menabur baja di sawah selain menangkap ikan untuk dijual di pasar dengan pendapatan tidak menentu antara RM5 hingga RM10 sehari.

"Berikutan penyakitnya yang semakin teruk ditambah serangan angin ahmar sejak beberapa tahun lalu menyebabkannya tidak boleh bekerja dan hanya terlantar di rumah.

"Lebih menyedihkan, dia kini mula bercakap seorang diri dan badannya panas menyebabkan saya dan anak-anak semakin bimbang dengan keadaannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Hujung Sungai, Tebengau, dekat sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro ke rumahnya semalam mendapati, keadaan Abdul Razak begitu menyedihkan dan sering bercakap seorang diri manakala tubuhnya kurus.

Nur Atikah berkata, mentuanya, Chik Yop sering menangis melihat keadaan anaknya itu.

"Sebelum diserang penyakit ini, suami saya memiliki berat badan antara 56 hingga 59 kilogram, tetapi sekarang berat badannya hanya 35 kilogram," katanya.

Nur Atikah berkata, sebelum ini, mereka hanya tinggal di pondok buruk milik ibu mentuanya tetapi kehidupan mereka lebih selesa sejak berpindah ke rumah yang dibina melalui Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak 2001.

"Kami sekeluarga kini hanya mengharapkan belas ihsan jiran tetangga yang bersimpati kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan serta pakaian untuk empat anak selain memasak ala kadar untuk mengalas perut,” katanya.

Nur Atikah berkata, tiga daripada empat anaknya, Razati Idayu, 12; Mohd Akmal Asyraf, 11; dan Amirul Hakim, 9, masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tebengau menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) manakala seorang lagi anaknya, Mohd Khairosi baru berusia setahun setengah.

Menurutnya, setiap bulan dia terpaksa menyediakan lampin pakai buang untuk suami dan ibu mentuanya dengan harga RM30 sebungkus.

Katanya, ada kalanya dia terpaksa membiarkan mereka membuang najis hanya beralaskan kain batik kerana tidak mampu menyediakan lampin disebabkan tiada wang.

"Saya bercadang bekerja tetapi siapa mahu menjaga anak bongsu, suami dan ibu kerana kami tiada saudara mara lain,” katanya.

No comments: