Friday, August 18, 2006

Kebajikan OKU agenda DBKL

Berita Harian, 18 ogos 2006



MESRA: Shahrizat (tengah) bersalaman dengan penghuni rumah
anak-anak kurang upaya ketika majlis Pelancaran Tabung Kebajikan
dan Pendidikan Impian.


Impian perlukan RM250,000 setahun untuk menyediakan pusat terapi berkualiti, kemudahan pembelajaran kepada kanak-kanak autisme


KUALA LUMPUR: Golongan kurang upaya (OKU) di ibu kota akan terus mendapat sokongan dan perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan menjadikan program kebajikan mereka sebagai antara agenda penting DBKL.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hassan, berkata kepentingan untuk memberikan kerjasama kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat kunci untuk mencapai matlamat dalam menyatukan masyarakat menerusi pelbagai kegiatan sosial, kebajikan dan ekonomi OKU di ibu kota.

Beliau berkata, DBKL mempunyai sebuah jabatan khas yang bertindak mengendalikan program berkaitan sosial yang mana menumpukan kepada kebajikan warga emas, anak yatim, orang miskin dan OKU.

“Sehingga 31 Julai lalu, DBKL sudah membelanjakan sebanyak RM400,000 bagi menjayakan pelbagai program berkaitan kemasyarakatan di ibu kota termasuk satu program untuk OKU, tiga untuk anak yatim, lapan untuk ibu tunggal, 23 untuk warga emas, 27 untuk belia dan dadah dan 68 untuk jawatankuasa penduduk.

“Walaupun hanya satu program bagi OKU, tidak bermakna DBKL tidak prihatin dan kurang memberikan bantuan kepada mereka malah kita akan bekerjasama sepenuhnya kepada semua pertubuhan kebajikan di ibu kota dalam melaksanakan program yang dirancang mereka,” katanya selepas merasmikan Karnival Tabung Kebajikan dan Pendidikan Institut Masalah Pembelajaran dan Autisme Malaysia (Impian) bersama

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di sini, baru-baru ini.

Impian adalah sebuah institut tidak berasaskan keuntungan yang menjaga dan mendidik seramai 40 kanak-kanak berusia antara 2 hingga 25 tahun yang mengalami penyakit Autisme iaitu gangguan dalam perkembangan mental kanak-kanak menyebabkan mereka mengalami masalah pertuturan, komunikasi dan juga mempunyai tingkah laku yang luar biasa.

Kanak-kanak autisme mempunyai kebolehan mendengar dan melihat, tetapi tidak boleh menyampaikan secara langsung kepada orang di sekeliling seolah-olah mereka hidup dalam dunia mereka sendiri.

Sementara itu, Pengerusi Karnival Impian, Noor Hadi Ismail, berkata Impian mempunyai harapan dan cabaran untuk memajukan serta membangunkan potensi kanak-kanak istimewa ke peringkat normal selain diterima masyarakat.

Katanya, dalam usaha memajukan institusi terbabit, pihaknya terpaksa menghadapi pelbagai masalah seperti kewangan dan kepakaran yang perlu diatasi secara berperingkat.

“Sumber kewangan Impian bergantung kepada yuran sekolah yang dikenakan iaitu pada tahap paling minimum selain sumbangan orang ramai. Kami memerlukan kira-kira RM15,000 hingga RM20,000 setiap bulan bagi menjalankan operasi termasuk gaji pekerja, penyelenggaraan air dan elektrik dan alat bantuan mengajar.

“Kami memerlukan RM250,000 setahun untuk menjalankan operasi ini seperti penyediaan pusat terapi berkualiti dan kemudahan pembelajaran untuk kanak-kanak berkenaan dan bantuan daripada orang ramai mahupun syarikat korporat amat diperlukan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menyumbang kepada tabung itu boleh menyerahkan derma mereka menerusi cek ‘Tabung Kebajikan Dan Pendidikan Impian’ ke akaun Standard Chartered Bank nombor 873-1-5657142-9.

No comments: