Thursday, August 24, 2006

Tiga beradik cacat

Harian Metro, 24 ogos 2006

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

KUANTAN: �Sebelum ini, pelbagai jenis kerja yang saya lakukan untuk menyara keluarga tetapi terpaksa berhenti kerana malu memiliki jari tangan dan kaki cacat sejak dilahirkan.



�Saya tahu keluarga kini bergantung kepada saya dengan harapan dapat bekerja semula untuk menyara hidup,� kata Zainol Abidin Mohd Nor, 31, yang menetap di Kampung Pandan 2, di sini.

Selain Zainol, dua kakaknya, Norizan Mohd Nor, 45, dan Suria Mohd Nor, 41, turut mengalami kecacatan anggota sejak dilahirkan dan tidak dapat bekerja.

Menurutnya, sejak berhenti sekolah ketika di tingkatan tiga, pelbagai kerja dilakukan termasuk kerja buruh untuk mencari wang menyara keluarganya selepas ayahnya meninggal dunia.

Menceritakan pengalamannya ketika bekerja, dia berkata, ketika sedang bekerja, pekerja lain asyik memandangnya kerana memiliki jari tangan yang cacat.

Katanya, dia kemudian berhenti kerja dan bekerja dengan abang ipar sebagai pendawai elektrik dan akhirnya berhenti juga.



Zainol berkata, dia sedar tindakannya itu mendatangkan kesan pada masa depan terutama sekiranya ibunya sudah tiada.

�Bagaimanapun, dengan keadaan seperti ini membuatkan saya rasa rendah diri,� katanya ketika dilawat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Panching, Datuk Abdul Manan Ismail

Sementara itu, ibunya, Rahmah Ahmad, 62, berkata sebagai ibu tunggal, dia hanya mampu bersabar dan reda dengan nasib menimpa keluarganya.

�Selain Zainol, Norizan turut mengalami kecacatan fizikal dan kini tinggal di Pusat Pemulihan Orang Cacat di Sungai Lembing.

�Sementara Suria mengalami kecacatan otak, tidak mampu melakukan sebarang kerja,� katanya.

Menurutnya, disebabkan tiga anaknya cacat, kehidupan seharian termasuk perbelanjaan dapur bergantung kepada wang pencen arwah suaminya sebanyak RM194.31 sebulan.

Katanya, dengan pendapatan wang pencen tidak seberapa, dia berjimat-cermat dengan hanya menikmati nasi putih bersama ikan bilis dan sayur yang ditanam.

Rahmah berkata, dia pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi masih belum menerimanya.

No comments: