Friday, August 11, 2006

Edisi KL: Takut digelar orang gila

Harian Metro, 11 ogos 2006

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Kurang 10 peratus daripada 2.6 juta rakyat Malaysia yang menghidap penyakit mental tampil mendapatkan rawatan, semata-mata kerana kebanyakan mereka tidak mahu dilabel sebagai orang gila dan bimbang dengan penerimaan masyarakat.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, berkata salah tanggapan itu menyebabkan kebanyakan pesakit mental memilih berdiam diri dan enggan menerima rawatan sewajarnya.

Beliau berkata, ia sekali gus menyukarkan usaha kementerian mempercepatkan pemulihan pesakit mental supaya mereka boleh kembali kepada masyarakat.

“Ini menimbulkan kesulitan dan penghalang kepada kami mendapat kerjasama daripada masyarakat kerana rakyat enggan `dinamakan’ sebagai orang gila.

“Jadi sebab itu dia (pesakit) enggan mendapat rawatan kerana ia akan menjejaskan pekerjaan dan hubungan antara ahli keluarga,” katanya selepas merasmikan Bulan Sihat Minda 2006 anjuran Yayasan Kesihatan Mental (YKM) di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi YKM, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Bulan Minda Sihat, Tan Sri Hashim Meon.

Dr Chua berkata, masyarakat perlu sedar penyakit mental meliputi spektrum yang luas termasuk gejala seperti tidak boleh tidur, kerap berasa tidak selesa sehingga kepada gangguan fikiran yang perlu dirawat di institut khas.

Beliau berkata, rawatan pesakit mental juga lebih moden pada masa ini supaya pesakit tidak lagi terkurung di hospital mental seperti masa lalu.

“Perlu diingatkan tujuan kita memberi rawatan terbaik adalah untuk mempercepatkan tempoh pemulihan supaya pesakit ini dapat kembali bergaul dalam masyarakat,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui negara berhadapan masalah kekurangan pakar psikiatri dan klinikal psikologi sehingga menyebabkan kerajaan tidak dapat mewujudkan lebih banyak pusat penjagaan sementara di negara ini.

No comments: