Saturday, August 12, 2006

'Angah mimpi berjalan'

Harian Metro, 12 ogos 2006

Oleh Siti Azura Abdul Rahman

KUALA LUMPUR: �Angah sering bermimpi dia boleh berjalan seperti dulu,� kata Roslizawati Muhd Salim, 32, ibu kepada Muhammad Syakir Shahardi, 6, yang kudung kaki kanan disebabkan penyakit berkaitan pembuluh darah.

Keadaan anak kedua daripada tiga beradik itu berubah pantas sejak November tahun lalu, selepas doktor pada awalnya mengesahkan kesan kehitaman di bawah kulit kakinya adalah tanda demam denggi memandangkan ketika itu Syakir demam.

�Selepas tiga hari, kesan kehitaman itu merebak hingga paras lutut kanannya namun kami tidak mengesyaki apa-apa.

�Apabila darah mula keluar melalui hidung, mulut serta najisnya, kami segera menghantarnya ke hospital namun doktor gagal mengesan penyakit Angah walaupun mereka mengesyaki virus itu berpunca daripada penyakit tonsil yang dihidapinya,� katanya yang ditemui di Balai Berita The New Straits Times Press (NSTP), di sini, semalam.

Menurutnya, dia dan keluarga terpaksa menerima keputusan doktor untuk memotong kaki kanan Syakir pada Januari lalu bagi mengelakkannya merebak ke anggota badan lain.

Walaupun tanda sama dikesan pada tangan kanan anaknya, selepas menjalani pemindahan darah, kesan kehitaman itu �berhenti� merebak dan meninggalkan kesan.

Namun begitu dia dan suami, Shahardi Mohamad, 35, bersyukur kerana kaki kiri Syakir tidak dipotong walaupun mengalami �keguguran� semua jari kakinya.

Justeru, dia merayu orang ramai menghulurkan bantuan bagi membiayai kos mendapatkan kaki palsu anaknya bernilai RM6,800 memandangkan pendapatan suaminya yang bekerja di kilang plastik hanya RM1,500 sebulan.

�Kami berharap dengan sumbangan itu Angah dapat berjalan seperti biasa selain mengurangkan beban kami yang perlu menampung kos rawatan susulan di hospital setiap dua minggu.

�Saya berharap mimpi Angah untuk berjalan seperti biasa menjadi kenyataan,� katanya yang mengakui sifat Syakir berubah selepas kudung sehingga terpaksa menjalani sesi kaunseling empat bulan di hospital.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghantar cek berpalang (dengan catatan nama Muhammad Syakir atau Shahardi Mohamad di belakang cek) kepada Unit Kebajikan, Bahagian Kewangan NSTP, The New Straits Times Press ( M) Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau hubungi 03-22823131.

No comments: