Tuesday, August 22, 2006

Pelajar OKU dirogol 21 kali

Berita Harian, 22 ogos 2006

MELAKA: Seorang pelajar perempuan istimewa menderita dalam diam selama lebih setahun dipercayai akibat dirogol datuk saudaranya sebanyak 21 kali di ladang kelapa sawit Tiang Dua, dekat sini.


Difahamkan, mangsa yang berusia 15 tahun dan belajar di kelas pendidikan khas di Umbai, dekat sini, akan dibawa menaiki kereta oleh suspek sebelum merogolnya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Deputi Superintendan Gan Chip Pho, berkata kejadian itu hanya terbongkar selepas mangsa mengadu kepada guru kelasnya pada 17 Ogos lalu, kerana tidak tahan menanggung penderitaan itu.

Beliau berkata, guru pelajar itu yang terkejut sebaik dimaklumkan mengenai perkara itu, membuat aduan di Balai Polis Merlimau, kira-kira jam 8.30 pagi, keesokan harinya.

"Pelajar perempuan ini tergolong dalam kumpulan 'slow learner' dan terbatas keupayaan fizikalnya. Mangsa sudah belajar di situ lebih setahun.

"Mengikut laporan, pelajar ini mendakwa dirogol 21 kali mulai tahun lalu dan akan dibawa ke kawasan yang sunyi di ladang kelapa sawit yang sama setiap kali dia dirogol," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.

Gan juga berkata, pihak polis masih mengesan suspek dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan juga hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

No comments: