Wednesday, August 02, 2006

Cacat tidak belenggu hidup Adila

Utusan Malaysia, 2 ogos 2006

ALOR STAR 1 Ogos - Biarpun terpaksa mengharungi alam kanak-kanak yang berbeza berikutan kecacatan fizikal, Nur Adila Rozali, 8, tetap ceria dan riang seolah-olah tiada masalah yang membelenggu perjalanan hidupnya.

Kanak-kanak istimewa setinggi 0.6 meter itu dilahirkan serba kekurangan dengan kedua-dua belah tangannya kudung dari paras lengan sementara bahagian kakinya juga tidak sempurna dan hanya mengharapkan kekuatan betis serta telapak kaki yang juga cacat.

Melihatnya, terbayang kepayahan yang terpaksa diharungi kanak-kanak tersebut terutama untuk bergerak ke sekolah setiap hari, namun anak kedua daripada tiga beradik itu dapat menyesuaikan diri dengan kekurangan tersebut.

Malah pelajar tahun dua, Sekolah Rendah Kebangsaan Pusat Merbok dekat sini itu sentiasa membina harapan untuk belajar bersama kanak-kanak normal lain dan tidak meletakkan kecacatannya sebagai alasan untuk melemahkan semangatnya dalam menimba ilmu.

Meskipun menggunakan kaki yang hanya mempunyai dua jari untuk menulis dan melakukan hobi kegemarannya iaitu melukis dan mewarna, Nur Adila berjaya membuktikan bahawa kekurangan yang ada bukan penghalang untuknya bersama-sama berjalan seiring dengan pelajar lain dalam pelajaran.

Menurut ibunya, Hasnah Zakaria, 37, Nur Adila mula menyuarakan keinginan untuk belajar bersama kanak-kanak normal ketika usianya lima tahun kerana sering melihat keriangan kanak-kanak seusianya di sebuah tadika bersebelahan pusat pendidikan dalam komuniti (PDK), Merbok yang disertainya.

‘‘Saya telah mula menghantar Nur Adila ke PDK sejak usianya 6 bulan lagi atas nasihat doktor dan apabila dia mula bertanya, kenapa dia tidak boleh pergi ke sekolah biasa, kami cuba berusaha untuk memenuhi impiannya itu dengan merancang menghantarnya ke tadika biasa.

‘‘Tetapi semua tadika tidak berani mengambil Nur Adila sebab kecacatannya, sehinggalah pihak PDK cuba membantu dengan berbincang dengan sekolah untuk memasukkan anak saya ke prasekolah di situ,’’ katanya ketika ditemui pada majlis Karnival Kokurikulum Anak-Anak Peringkat Negeri Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti di sini, hari ini.

Majlis anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah dan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Daerah Kota Setar dihadiri lebih 300 kanak-kanak termasuk OKU dan disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Menurut Hasnah, pihak sekolah telah memberi kerjasama dengan mengubahsuai persekitaran sekolah termasuk membina laluan dan tandas khas untuk kemudahan Nur Adila.

‘‘Saya tidak minta anak saya diberikan layanan istimewa daripada guru atau pelajar lain, cuma mereka perlu memahami keadaannya dan saya sendiri sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk menyediakan set meja dan kerusi khas yang lebih rendah untuk memudahkan Nur Adila menulis dan belajar ketika di sekolah,’’ ujarnya.

Sementara itu, pekerja PDK, Nurliza Akhir berkata, Nur Adila dihantar ke sekolah biasa kerana dia mempunyai tahap Kecerdasan Intelektual (IQ) yang tinggi berbanding kanak-kanak istimewa yang lain.

Jelasnya, Nur Adila perlu dihantar ke sekolah biasa memandangkan PDK adalah untuk pemulihan, sedangkan kanak-kanak itu perlu lebih daripada itu terutama dari segi pelajaran dan kemahiran sosial.

No comments: