Thursday, August 17, 2006

Disiplin rahsia kejayaan dua OKU

Berita harian, 17 ogos 2006


KECEKAPAN pengurusan pentadbiran dan kemudahan lengkap untuk orang kurang upaya (OKU) yang disediakan Universiti Malaya (UM) menjadi pendorong semangat kepada Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus dan Wong Huey Siew untuk terus menimba ilmu ke tahap lebih tinggi.


Walaupun cacat penglihatan, Ahmad Kamal Ariffin dan Wong membuktikan masalah itu bukan penghalang mereka memajukan diri apabila tergolong dalam 112 graduan yang menerima ijazah doktor falsafah (PhD) pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UM 2006, kelmarin.

Dilahirkan dalam keluarga besar, Wong yang juga anak bongsu daripada 10 beradik menyifatkan usaha menyiapkan tesis bertajuk Persekitaran Pembelajaran Pelajar Cacat Penglihatan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas dan Sekolah Menengah: Analisis dan Perspektif Sosiologi banyak dibantu kemudahan dan bahan rujukan yang disediakan UM, khusus bagi golongan senasibnya.

Tambahan pula, katanya, bidang itu memang kurang dibuat kajian dan beliau yang memang berada dalam persekitaran sama berasa perlu berbuat sesuatu yang boleh menyumbang ke arah kebaikan golongan senasib dengannya.

“Golongan kurang upaya seperti saya memerlukan usaha lebih untuk merangkul kejayaan. Sepanjang tempoh menyiapkan tesis, saya bangun awal dan sudah berada di perpustakaan UM untuk mencari bahan rujukan seawal jam lapan pagi.

“Disiplin yang tinggi, minat mendalam dan kekuatan semangat menjadikan usaha itu semakin mudah. Walaupun bahan rujukan dan peralatan terhad, akhirnya kini terbukti saya mampu berdiri setanding orang lain,” katanya yang kini menjadi pengendali program motivasi.

Bagi Ahmad Kamal Ariffin yang berasal dari Taiping, Perak, tugasnya sebagai pensyarah di Jabatan Sejarah UM menjadikan beliau sentiasa berusaha untuk memajukan diri supaya boleh dijadikan teladan pelajarnya.

Katanya, beliau perlu berusaha tiga kali ganda berbanding pelajar lain kerana banyak proses yang perlu dilalui semasa mencari bahan untuk menyiapkan tesis.

“Pada peringkat awal, saya akan keluar mencari bahan rujukan dan terpaksa mengupah pembantu untuk membacanya jika bahan itu bukan dalam bentuk braille. Isteri saya, Nur Hannah Ahmad Zainy hanya boleh membantu pada waktu petang kerana perlu mengajar pada sebelah pagi.

“Selepas itu saya akan mengumpulkan fakta, membuat nota dan menterjemahkannya ke dalam komputer. Walaupun memerlukan bantuan penuh isteri dan pembantu khas, keazaman dan semangat tinggi menjadikan impian saya untuk menggenggam PhD dalam bidang sejarah tercapai,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Daripada 112 penerima PhD itu, 31 graduan luar negara, manakala 81 lagi tempatan. Graduan luar negara antaranya dari Iraq, Bangladesh, Ghana, Afghanistan, Thailand, Jordan, Brunei dan Uganda.

No comments: