Kepayahan hidup Kamariah dapat perhatian pelbagai
MELAKA 28 Ogos – Kepayahan hidup seorang warga emas yang cacat sejak lahir, Kamariah Ali, 66, dari Kampung Sungai Petai, di sini, yang kisahnya didedahkan oleh Utusan Malaysia terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Hari ini warga emas yang tinggal bersendirian di rumah milik arwah ibunya sejak abangnya meninggal dunia akibat kemalangan motosikal dua tahun lepas menerima bantuan bulanan daripada pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berupa makanan seperti beras, minyak dan susu.
Ketua Bahagian Agihan Zakat MAIM, Mohd. Khabir Abd. Karim berkata, bantuan tersebut diberikan bagi membantu meringankan beban Kamariah
yang turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka.
Menurutnya, oleh kerana warga emas tersebut menghidap sakit jantung dan darah tinggi maka bantuan yang diperoleh daripada JKM itu boleh digunakan untuk perbelanjaan perubatannya seperti membeli ubat.
“Bantuan yang dihulurkan oleh MAIM ini secara tidak langsung dapat meringankan bebannya dan dia tidak perlu membeli keperluan dapur setiap bulan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah Kamariah di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Perpaduan negeri, Datuk Ramlah Abas, Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Alor Gajah, Hasnah Salam dan Timbalan Pengarah JKM Melaka, Samsul Bahari.
Utusan Malaysia Jumaat lalu mendedahkan kisah Kamariah yang cacat sejak lahir tetapi tetap berusaha dan berdikari melakukan segala kerja seperti memasak, menyapu, mengemas rumah dan menguruskan diri sendiri.
No comments:
Post a Comment