Friday, August 25, 2006

Dib pentaskan Merdeka Di Mataku mulai esok

Berita Harian, 25 ogos 2006


KECACATAN tidak bererti harapan untuk meneruskan hidup kini berada di laluan kelam. Ras Adiba Radzi, tidak pernah menganggap kecacatannya sebagai batu penghalang untuk menempuhi norma kehidupan seperti insan lain.


Sejak lumpuh daripada paras pinggang ke hujung kaki empat tahun lalu, Ras Adiba atau Dib tidak pernah patah semangat. Dib membuktikan dia juga boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlukan simpati insan lain.

Semuanya mungkin didorong nasihat doktor yang pernah merawatnya dan meminta Dib menyenaraikan apakah perkara yang ingin dilakukan setelah bergelar Orang Kurang Upaya (OKU). Antara impiannya ialah menjadi pensyarah dan ia berjaya direalisasikan apabila Dib bergelar karyawan tamu di Fakulti Sketsa dan Titas di Universiti Malaya (UM) dan menyertai Sukan Paralimpik Asia.

Kini, satu lagi senarai impian Dib untuk mengadakan sebuah pementasan bakal terlaksana menerusi sebuah persembahan yang dinamakan Merdeka di Mata Ku. Pementasan itu yang terbit daripada ideanya sendiri bakal dipentaskan pada 26 dan 27 Ogos ini di Pusat Persembahan Seni Kuala Lumpur (KLPac).

Merdeka di Mata Ku adalah pementasan pertama dalam sejarah OKU di negara ini. Hasrat itu terbit di hatinya setelah menyaksikan persembahan kumpulan OKU dari Jepun yang sudah 30 tahun bertapak iaitu kumpulan Tai Heng.

Tertarik melihat kegigihan mereka, lahir di jiwanya untuk mempelajari pergerakan seni atas lantai itu menerusi bengkel di KLPac yang dibimbing tenaga pengajar dari Osaka, Man Ri Kim.

Selain mempersembahkan pergerakan seni atas lantai, Dib akan turut mendendangkan lagu dan bacaan puisi serta bermonolog. Persembahan Dib nanti akan dibantu sukarelawan daripada Jerman seramai tujuh orang. Mereka adalah insan normal yang pernah membuat persembahan pembukaan Piala Dunia, baru-baru ini.

“Mereka bersedia membantu saya tanpa sebarang bayaran. Sebenarnya saya meluahkan hasrat itu kepada ibu angkat saya dan kebetulan adiknya terbabit pada pembukaan Piala Dunia. Dia yang mencadangkan kepada saya untuk meminta bantuan adiknya.

“Mereka sudah tiba di sini dan akan membantu kami dari sudut teknikal. Sukarelawan tempatan juga akan sama-sama membantu menjayakan pementasan ini nanti. Selain itu, beberapa OKU juga akan membantu di atas pentas sebagai pendedahan untuk mereka,” katanya ketika dihubungi.

Dib berkata, dia kini giat berlatih untuk pementasan itu. Malah, di rumah juga, dia turut meluangkan masa berlatih di atas tilam. Kerana ia memerlukan kekuatan bahagian pinggang ke atas untuk mengawal kerusi roda itu nanti.

“Sehari sebelum pementasan nanti, kita akan mengadakan raptai penuh. Konsepnya adalah tradisional dan moden. Saya cuba lakukan yang terbaik hasil bengkel yang saya sertai.

“Walaupun beberapa hari saja saya mengikuti bengkel berkenaan, sudah cukup untuk saya adaptasikan pada persembahan nanti,” katanya.

Selepas pementasan ini, Dib juga memasang cita-cita untuk membawa OKU di sini ke Eropah bagi memperkenalkan mereka.

No comments: