Friday, August 18, 2006

Kontinjen negara sasar 10 pingat emas Sukan Fespic

Berita Harian, 18 ogos 2006

SASARAN 10 pingat emas serta berada pada kedudukan 10 terbaik menjadi buruan kontinjen paralimpik negara dalam menghadapi saingan di Sukan Fespic KL’06 di Kuala Lumpur pada 25 November hingga 1 Disember.


Daripada 239 atlit yang akan beraksi dalam 19 acara, Malaysia meletakkan harapan mencari pingat menerusi acara olahraga, badminton, lawn bowl dan renang.

Ketua Pegawai Eksekutif Sukan Fesfic KL’06, Zainal Abu Zarin, berkata kedudukan ke-10 diletakkan bagi membaiki pencapaian di Busan pada 2002 yang menyaksikan kontinjen negara sekadar berada di tempat ke-18 keseluruhan menerusi dua emas, 28 perak dan 37 gangsa.

“Pada Sukan Fespic di Busan, Malaysia menghantar jumlah penyertaan yang kecil dengan tidak sampai 100 atlit berbanding kali ini dengan jumlah yang besar.

“Bagi Fespic kali ini, dijangka 3,000 atlit dari 40 negara akan mengambil bahagian. Bagaimanapun, jumlah itu belum muktamad.

“Sepatutnya tarikh tutup penyertaan adalah penghujung bulan lalu tetapi banyak negara mahu ia ditangguhkan dan kita melanjutkan sehingga hujung bulan ini,” katanya pada majlis pelancaran menjelang 100 hari Sukan Fespic, semalam.

Sempena 100 hari menjelang temasya itu, pelbagai acara menarik dibuat untuk menarik pelancong termasuk mengadakan majlis sambutan di sekitar Bukit Bintang. Bagi penyertaan di Sukan Fespic atlit paralimpik negara yang mengambil bahagian digelar Skuad Wira Negara.

Ketika ditanya berhubung sambutan yang diterima dalam program Rakan Fespic, Abu Zarin berkata, pada hari pelancaran Selalu lalu, pihaknya berjaya mengumpul RM50,000 daripada penaja dan turut menerima banyak panggilan daripada korporat yang mahu memberi tajaan.

No comments: