Saturday, August 19, 2006

Merdeka Di Mataku - Luahan Perasaan Ras Adiba


Utusan Malaysia, 19 ogos 2006

Oleh Nor Fadzilah Baharudin


Wajah terbaru Ras Adiba.

Nama Ras Adiba Radzi tidak perlu diperkenalkan lagi kerana nama itu cukup sinonim dalam dunia penyiaran suatu waktu dahulu. Tapi selepas terlibat dalam satu kemalangan yang menjadikannya lumpuh separuh badan, kehidupan Ras mula berubah.

Memang tidak dapat dinafikan agak sukar untuk Ras melalui liku-liku kehidupan dari seorang yang normal kepada seorang kurang upaya. Tetapi berbekal ketabahan dan kecekalannya, Ras Adiba terus melalui kehidupan yang serba sukar itu selama empat tahun dengan reda.

Namun kata Ras, masih ada rasa terkilan di hatinya tentang layanan yang tidak sama rata oleh masyarakat terhadap golongan sepertinya.

“Bukan tidak bersyukur dengan apa yang dikurniakan. Tapi kami rasa banyak lagi perkara yang boleh diperbaiki. Layanan kesamarataan masih belum ada,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Merdeka Di Mataku di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Merdeka di Mataku, merupakan sebuah persembahan puisi dan gerak seni solo pertama dari Ras Adiba merangkap persembahan solo pertamanya sebagai orang kurang upaya.

Akan diadakan pada 26 Ogos pukul 8.30 malam dan 27 Ogos pukul 3 petang dan 8.30 malam di Pentas 2, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), Sentul, Kuala Lumpur, Ras Adiba menjanjikan sebuah persembahan yang hebat.

“Pementasan ini merupakan luahan perasaan orang kurang upaya (OKU). Memang kita dah merdeka, tetapi kami (OKU) tidak merasai kemerdekaan tersebut.

“Kami masih merasakan, ada pihak yang melabelkan OKU sebagai golongan yang lemah dan tidak mempunyai wawasan.”

“Padahal kami bukan pengemis yang sentiasa meminta bantuan. Apa yang kami mahu ialah diberi peluang. Kami mahu memperbaiki keadaan untuk generasi akan datang juga,” ujarnya.

Persembahan yang bakal mengambil masa selama satu setengah jam itu akan dibahagikan kepada empat fasa yang dihiasi dengan tarian, syair, puisi dan monolog Ras Adiba.

Ditanya mengenai tujuan utama persembahan tersebut kata Ras Adiba, “Tujuannya untuk mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk menonjolkan interpretasi OKU dan bakat-bakat OKU yang sedia ada.

Menyentuh mengenai perasaannya untuk mengadakan persembahan pertama itu, jelas Ras Adiba, “Saya mengaku agak gelisah menantikan persembahan itu. Sebab kita tak tahu penerimaan orang ramai.

Merdeka Di Mataku diarahkan oleh Ras Adiba dan Rolf M.Engel. Tiket-tiket berharga RM30 dan RM15 bagi menyaksikan persembahan tersebut kini dijual di KLPAC Sentul Park, Kuala Lumpur. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian 03- 4047 9000.

No comments: